Harimau Malaya tunjuk taring di Piala Asia

Piala Asia akan menjadi cabaran seterusnya buat Harimau Malaya. - Foto Facebook FAM.
Piala Asia akan menjadi cabaran seterusnya buat Harimau Malaya. - Foto Facebook FAM.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya mampu untuk menjadi antara pasukan pencabar di Piala Asia yang akan berlangsung di Qatar pada Januari tahun depan berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, prestasi yang dipamerkan pada pusingan kelayakan itu menerusi dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan merupakan momentum terbaik untuk diteruskan pada Piala Asia.

Menurutnya, tidak salah untuk meletakkan sasaran posisif dalam kejohanan tersebut walaupun mengetahui lawan yang bakal dihadapi pada Piala Asia bukan calang-calang pasukan.

"Sepanjang perlawanan tahun ini termasuk perlawanan persahabatan, kita memang nampak Harimau Malaya menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan peningkatan prestasi.

"Kita mampu memberikan saingan kepada pasukan China dan Syria (perlawanan persahabatan) dan juga berjaya tewaskan India (Pestabola Merdeka) selain Kyrgyzstan. Ini semua pasukan di ranking yang lebih bagus.

"Jadi, saya percaya kita juga mampu memberikan cabaran di Piala Asia nanti dan jika pasukan berada pada tahap terbaik mungkin ada kejutan boleh berlaku di sana," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada dua aksi Kumpulan D, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Harimau Malaya menunjukkan taring apabila menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0 untuk menggunguli kumpulan dengan enam mata.

Ia sekali gus meletakkan pasukan kendalian Kim Pan-gon itu pada landasan terbaik untuk memenuhi misi mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tumpuan Harimau Malaya segera beralih kepada aksi Piala Asia yang akan berlangsung di Qatar Januari depan walaupun kejohanan itu tidak diletakkan sebagai keutamaan kedua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam kejohanan terbesar Asia itu.

Mohd Azraai berkata, perlawanan persahabatan dan juga aksi Piala Asia itu juga bakal menjadi medan kepada Pan-gon memperkemaskan pasukan selain melihat kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Semua pemain yang kita ada mempunyai kualiti tinggi dan mereka semua mampu untuk beradaptasi dengan corak permainan dimahukan Pan-gon.

"Setiap perlawanan yang diiharungi pasukan negara sangat berbeza dari segi taktikal dan sudah tentu Pan-gon akan menyesuaikan corak taktikal yang dimahukan dalam perlawanan yang akan dihadapi. Apa yang penting kita harungi perlawanan demi perlawanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!