Petinju Kuda Merah PDRM buru gelaran Muay Thai antarabangsa

Nizam Maarof. (Gambar kecil: Mohamad Ridhwan)
Nizam Maarof. (Gambar kecil: Mohamad Ridhwan)
A
A
A

KELAB Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertaruhkan kepada empat petinju untuk memburu gelaran dalam Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur selama dua hari bermula Sabtu.

Jurulatihnya, Mohamad Ridhwan Mat Zain memberitahu, tiga daripada mereka merupakan petinju berpengalaman, termasuk Mohd Rafi Abdul Manaf atau Mat Ropi yang sudah membuat penampilan lebih 320 kali.

Beliau berkata, dua lagi petinju ialah Mohd Amirul Ariffin atau Ban Mero dan Mohd Shalihem Mohamad atau Lihem Apollo serta atlet pelapis, Nizam Maarof Jeoffery.

"Kami membuat persediaan rapi sejak tiga bulan lalu. Para petinju sudah bersedia daripada aspek fizikal serta mental untuk berdepan lawan nanti.

"Para petinju juga sudah tidak sabar untuk beraksi dan bertekad memberikan yang terbaik untuk memburu gelaran pada kejohanan tersebut," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam kejohanan itu, Mat Ropi akan menentang Khong Farr dari Thailand pada Ahad, manakala Ban Mero membuat perhitungan dengan petinju Laos, Can Sek pada Sabtu.

Lihem Apollo pula akan bertembung dengan petinju Indonesia, Amir Suputra dan Nizam Maarof berdepan Shazwan Ahmad Sheir Mohamad dari Tebuan Mas pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nizam Maarof sudah merancang taktikal yang bakal dipraktiskan bagi memerangkap petinju lawan dalam saingan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pusingan pertama saya pergi ringan-ringan dulu untuk tengok kemampuan lawan dan kemudian cuba beri tindak balas.

"Pusingan berikutnya akan cuba tingkatkan serangan selain bertahan dengan padu. Saya bertekad memberikan yang terbaik untuk meraih gelaran," katanya.

Kejohanan itu menampilkan seramai 28 petinju daripada 14 regu yang berentap merebut hadiah berupa 10 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan dan piala berserta wang tunai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!