Dadah: Tiga pelajar sekolah, seorang anggota tentera antara ditahan
KOTA BHARU - Seramai 40 tokan dadah antara 307 individu yang diberkas Polis Kelantan menerusi Op Tapis Khas di 137 kawasan sasaran sepanjang tiga hari bermula Isnin lalu.
Lokasi serbuan termasuk 10 port dadah mobile, lima kawasan ladang kelapa sawit, satu di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tiga sekatan jalan raya dan 118 lagi di kawasan-kawasan lain.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua yang ditangkap berusia di antara 16 tahun dan 63 tahun terdiri daripada 303 lelaki dan empat perempuan.
Menurut beliau, operasi melibatkan 24 pegawai dan 140 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
“Jumlah tangkapan termasuk tiga pelajar sekolah dan seorang anggota tentera.
“Selain 40 tokan, 117 ditahan bagi kesalahan memiliki dadah, 131 penagih dan seramai 18 dikategorikan sebagai orang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.
Ujarnya, nilai keseluruhan dadah yang berjaya dirampas melalui operasi berkenaan adalah RM67,191 meliputi 536.54 gram (g) pil kuda, 8.53g heroin, syabu (1.1g), ganja (37.5g), selain 22.1 kilogram daun ketum, 448 liter (l) cecair ketum, ubat batuk (6.9l), dan 0.4g pil Eramin 5.
Beliau berkata, tangkapan seorang pelajar Tingkatan Empat yang berusia 16 tahun dibuat di Kampung Galang, Pulai Chondong, Machang pada jam 12 tengah hari, Isnin lalu.
“Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai 51 pil disyaki dadah jenis pil kuda yang dianggarkan bernilai RM561.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif namun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39a (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau.
Tambahnya, seorang pelajar sekolah Tingkatan Lima berusia 17 tahun yang ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Periok, Chabang Empat, Tumpat, pada Rabu didapati positif dadah dan memiliki satu rekod kesalahan lampau berkaitan kes kesalahan sama.
“Seorang lagi pelajar Tingkatan Lima ditahan di tepi Jalan Taman Jintan Firdaus, Kok Lanas, Ketereh dan turut ditemui 20 pil disyaki dadah pil kuda yang dianggarkan bernilai RM220.
Ujian saringan air kencing ke atas suspek turut didapati positif dadah dan memiliki rekod kesalahan lampau juga kes dadah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!