Boikot produk jenama Israel berhasil
SHAH ALAM - Usaha rakyat Malaysia memboikot jenama Israel dan beberapa syarikat yang secara jelas menyatakan sokongan terhadap rejim Zionis dilihat membuahkan hasil apabila produk tersebut tidak lagi mendapat sambutan di pasaran.
Pengerusi Boikot, Pelupusan Pelaburan dan Sekatan (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata, permintaan yang terjejas ke atas produk Israel menyebabkan syarikat pengeluar berdepan kerugian seterusnya menghentikan pengeluaran.
“Ada beberapa strategi memboikot yang akan memberi kesan maksimum kepada ekonomi Israel tetapi ia perlu dilakukan secara global.
“Maka kita bergerak melalui BDS yang terdiri daripada masyarakat antarabangsa bukan sahaja berada di Malaysia tetapi melibatkan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Timur Tengah, Eropah, Australia dan Jepun.
“Selain itu, pilih sasaran untuk boikot dan jangan semua sekali nanti mudah putus asa. Di Facebook kami ada senarai dan alasan kenapa syarikat tersebut perlu diboikot,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu Bersama FY: Boikot Produk Zionis, Maslahah @ Mafsadah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut diundang sebagai panelis ialah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin manakala Finaz Yunus bertindak sebagai hos rancangan.
Menurut Mohd Nazari, pihaknya berharap semua syarikat di dunia sedar dan keluar daripada kepompong Israel sebagai tamparan kepada Zionis kerana kezaliman ke atas rakyat Palestin.
“Tindakan ini (tidak menyokong Israel) juga sebagai tanda mereka betul-betul ikhlas membela orang yang dizalimi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!