Dua budak perempuan panjat dinding tandas curi beg

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal ditahan bersama dua anak perempuannya untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian beg tangan di dalam tandas sebuah pasar raya di sini Rabu lalu.

Wanita berusia 39 tahun dan dua anaknya masing-masing berusia 10 dan 11 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah di Kuala Ibai di sini.

Menurut sumber, rumah didiami tiga beranak terbabit diserbu susulan laporan kecurian beg tangan milik seorang guru di dalam tandas pasar raya berkenaan yang dilakukan di Balai Polis Chabang Tiga di sini petang hari sama.

"Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa, 25, berada di dalam tandas pasar raya berkenaan dan meletakkan beg tangannya di ruang tempat meletak barang di belakangnya.

"Sebelum keluar dari pintu tandas, mangsa terkejut melihat beg tangannya sudah hilang lalu bertanyakan kepada seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang kebetulan berdiri berhampiran pintu tandas.

"Wanita itu memaklumkan ternampak dua kanak-kanak perempuan dari tandas bersebelahan memanjat dinding tandas sebelum mangsa bertanyakan kepada salah seorang daripadanya yang kebetulan masih ada di situ kenapa dia memanjat dinding tandas tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, bagaimanapun kanak-kanak berusia 10 tahun itu memberi alasan mencari kakaknya dan kedua-duanya dengan selamba keluar dari tandas berkenaan

"Yakin ada sesuatu yang tidak kena, mangsa mengekori kedua-dua kanak-kanak tersebut yang menuju ke arah ibu mereka yang menunggu di luar pasar raya dengan menaiki motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menghampiri wanita tersebut sebelum memberitahu beg tangannya hilang dan kebetulan anak-anaknya ada di dalam tandas bersebelahan.

"Bagaimanapun, wanita itu dengan tergesa-tergesa menjawab dia tidak tahu dan mereka terus beredar segera dari situ," katanya.

Kata sumber, mangsa yang kehilangan barang-barang berharga termasuk kad pengenalan, lesen, kad bank dan wang tunai yakin beg tangannya dicuri tiga beranak tersebut sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tiga beranak terbabit.

Katanya, siasatan awal, kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengaku mengambil beg tangan tersebut dan dibuang ke dalam tong sampah di dalam tandas itu.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!