'DAP lebih terdesak' - Afnan Hamimi
KEMAMAN - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menempelak kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) semakin terdesak dengan masih berusaha menarik sokongan UMNO untuk menjatuhkan kerajaan.
Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa sedangkan DAP yang lebih awal terdesak untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
"DAP sendiri pun berpakat dengan UMNO. Jadi sebenarnya siapa yang terdesak? Sebelum ini DAP kata 'No UMNO' dan tak akan bekerjasama dengan UMNO.
"Apabila bentuk kerajaan, dia (DAP) pakat dengan UMNO. Jadi kalau dia nak kata Pas terdesak, sebenarnya DAP lebih awal terdesak daripada Pas.
"Kita memang ada kerjasama dengan UMNO sebelum ini cuma ia tak jadi (berlaku kerjasama) semasa PRU15 lepas. Jadi saya jawab isu ini dengan menyatakan DAP lagi banyak terdesak daripada Pas kalau dia nak kata kita lebih terdesak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program Pentas Anak Muda di Kemaman Arena Square dekat sini pada malam Jumaat.
Pada Khamis, Loke menyatakan PN semakin terdesak apabila gabungan itu mendedahkan masih berusaha untuk menarik sokongan UMNO.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan PN mahu mengganggu gugat kestabilan negara yang sudah dicapai melalui Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, pihaknya yakin bahawa pengundi Barisan Nasional (BN) tetap memberi undi pada calon Pas sebagai tanda protes kepada kepimpinan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman nanti.
Menurutnya, ia terbukti menerusi sokongan daripada ahli-ahli UMNO kepada Pas pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri sebelum ini.
"Ini kerana data-data undi kita dapat itu kalau kira jumlah ahli Pas sahaja tak cukup dan ia mesti sokongan daripada ahli parti lain dan golongan yang tidak ada parti.
"Hasil 'post mortem' jentera pilihan raya dibuat memang kita tahu undi pada Pas itu datang dari orang UMNO. Jadi saya tak pelik kalau hari ini orang UMNO tetap kekal undi Pas walaupun dia masih ahli UMNO.
"Pengundi UMNO memang akan beri undi pada kita sebab mereka tak puas hati selain menunjukkan protes pada pemimpin UMNO dengan cara undi Pas," ulasnya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!