Pas contoh parti tiada kekuatan organisasi dan kelebihan bakat - Rafizi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Idealisme sahaja tanpa ada kekuatan organisasi dan kelebihan bakat sesuatu gerakan (parti) itu tidak akan ke mana.
Mengambil contoh Pas, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sejak dari tahun 1951 dari segi idealisme jelas parti itu berlandaskan Islam.
“Sokongan paling ramai memang betul, sebab itu Pas apa-apa pun tunjukkan orang penuh satu stadium.
“Tapi kita pernah lama dengan Pas, dua hari sebelum pilihanraya 100,000 (orang datang), masuk pilihanraya kalah,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK)dan Wanita Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya pada Sabtu.
Jelasnya, idealisme sahaja tanpa kekuatan organisasi dan juga bakat kepimpinan yang baik itu tidak boleh menterjemahkan idealisme kepada keberkesanan kita kepada rakyat.
“Jadi saya nak tanya kepada perwakilan kepimpinan wanita dan AMK, organisasi saya ingat memang perkara kita bincang setiap hari kalau dalam parti dulu soal ranting, cabang kemahiran mengurus parti lebih baik dari satu zaman ke satu zaman.
“Apa yang saya bimbang bakat-bakat kepimpinan yang perlu diasuh daripada sekarang, kalau yang ada di atas pentas ini saudara-saudari mungkin hebat duduk di atas pentas tapi AMK lebih 35 tahun dah jadi tua.
“Dan saya perlu sebut di sini saudara Fadhlina, Adam ada di dalam jawatankuasa calon seboleh yang mana atas tugas saya sebagai pengerusi jawatankuasa calon parti memang seboleh kemampuan saya, saya nak tengok lebih ramai calon wanita dan AMK sebab saya datang dari asas itu,” katanya
Rafizi menegaskan beliau juga mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan tapisan calon akan berlaku diperingkat jawatankuasa calon sebelum senarai akhir itu di bawa kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau ada tiga calon, satu calon AMK,satu calon tokoh besar, satu calon veteran parti, walaupun saya tahu sebolehnya saya nak bagi tapi kalau berbeza daripada segi kesediaan, kematangan, watak, kemampuan melaksanakan tugas itu beza sangat, susah saya sendiri.
“Kenapa dulu-dulu, banyak tokoh-tokoh muda wanita dan AMK dapat peluang lebih awal, satu sebabnya tiada orang nak ke depan sebab parti dilihat tidak akan menang.
“Tapi satu lagi sebabnya pada pandangan peribadi saya adalah disebabkan ledakan kejutan politik yang menghasilkan idealisme yang kuat pada zaman awal penubuhan parti sebahagian besar pimpinan awal parti iaitu AMK dan wanita adalah terdiri daripada golongan profesional,” ujarnya.
Rafizi berkata, pada ketika itu tidak ada sesiapa yang mempertikaikan keputusan siapa yang akan menjadi calon kerana iabenar-benar dipilh dari kalangan mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing serta berkelayakan dari segi akademik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!