'Bukan kaleng-kaleng gol Ronaldo'
BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo membuktikan sentuhan ajaibnya apabila menyumbat gol menakjubkan dari jarak 28 meter (m) ketika membantu Al-Nassr menumpaskan Al-Akhdoud 3-0 dalam saingan Liga Pro Saudi, awal pagi Sabtu.
Kapten Portugal itu meledak dua gol dalam aksi di Riyadh itu sekali gus memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam sejarah divisyen utama dunia, mengatasi legenda Republik Czech, Josef Bican dengan 527 gol.
Pemenang Ballon d'Or lima kali itu sudah mengumpul 61 gol pada tahun ini.
Dalam aksi tersebut, Al-Nassr membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Sami Al-Najei.
Ia kemudian disusuli jaringan Ronaldo dalam kotak penalti menerusi sentuhan mudah dari jarak dekat pada minit ke-77.
Berselang tiga minit, gol kedua pemain berusia 38 tahun itu menjadi bualan dalam kalangan warga net.
Ketika penjaga gol Al-Akhdoud, Paulo Vitor keluar dari gawang untuk menyelamatkan kubunya, bola tersebut melantun di depan Ronaldo.
Bekas pemain Manchester United itu kemudian mendada sebelum melambungkan bola melepasi benteng pertahanan sebelum menerjah jaring dari jarak 28 meter.
Gol memukau itu menarik komen peminat di laman sosial yang menyifatkannya sebagai jaringan tercantik.
"Gol terbaik tahunan Puskas. Tiada pertikaian lagi!," tulis seorang peminat.
Malah seorang penyokong menganggap jaringan tersebut sukar dilakukan oleh mana-mana pemain di dunia.
"Teknik menggegar jaring dari jarak jauh itu memang gila, tidak ramai dalam dunia bola sepak boleh buat," catat seorang peminat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!