'Jangan bagi orang politik hidup selesa' - Pemuda UMNO
KEMAMAN - Pengundi di Kemaman diingatkan agar lebih bijak memilih pemimpin dan tidak terus membiarkan mereka 'hidup selesa'.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kesilapan memilih pemimpin boleh membuatkan rakyat terpinggir kerana tidak dipedulikan oleh wakil rakyat.
"Saya nak beritahu, jangan bagi orang politik ini hidup selesa sebab mereka akan lupakan rakyat di bawah.
"Sebab itu, kalau PN menang, percayalah cakap saya. Kemaman akan dilupakan. Apa kata Naib Presiden mereka? Kalau Pas bertanding di sini, letak botol air pun menang.
"Hina sangat ke orang Kemaman ni? Tak boleh nak bezakan botol air dan orang. Sebab apa? Mereka yakin buat apa pun (sama ada) tak buat kerja jadi wakil rakyat, tak tengok orang susah pun, boleh menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana 'Kemamang untuk Kemamang' di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Kuang, Kijal pada malam Jumaat.
Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang dikuasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN) apabila menang 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya lalu.
Justeru, Akmal mengingatkan pengundi di Kemaman harus pandai menilai dan tidak silap sekali lagi dalam memillih.
"Orang Kemaman jangan jadi bodoh. (Saya percaya) Orang Kemaman pandai-pandai belaka.
"Sekarang ini, dia (Pas) kata pula, letak MB (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) di sini sebab nak ubah kerajaan. Cukup-cukuplah, tak habis-habis. Yang senang lenang mereka, susahnya kita.
"Nak pilih pemimpin, kita pilih yang nak berkhidmat untuk rakyat. Bukan pemimpin yang ketika susah dan banjir melanda negeri ini, pergi ke New Zealand," tegasnya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu BN dan Pas.
BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!