Alunan Al-Insan untuk Gaza bergema di taman rekreasi
IPOH - Alunan bacaan Surah Al-Insan oleh seorang warga Gaza, Mohamad Wael Alzard, 22, bergema di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini sempena program #QuranHour For Gaza anjuran Rumah Ngaji Negeri Perak pada Sabtu.
Penganjuran program yang disertai kira-kira 400 peserta Rumah Ngaji Negeri Perak di tengah-tengah pusat rekreasi nyata mencuri tumpuan ketika orang ramai sedang bersenam dan beriadah seawal jam 8 pagi.
Program dimulai dengan perarakan ahli Rumah Ngaji mengelilingi di taman rekreasi berkenaan bersama alunan selawat beserta sorakan bebaskan Palestin diikuti bacaan doa, deklamasi sajak, bacaan dan tadabbur Surah Al-Insan oleh Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Mohd Syafiq Sahimi.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim yang ditemui menjelaskan, program berkenaan dilaksanakan sebagai usaha pihaknya memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang perjuangan membebaskan Palestin.
Menurutnya, selain itu juga, penerapan nilai-nilai di dalam al-Quran turut disertakan melalui pembacaan dan penghayatan Surah Al-Insan kepada semua yang hadir pada program tersebut.
"Tujuan Rumah Ngaji Perak anjurkan program ini nak beri satu kelainan bahawa kita mengharapkan masyarakat sedar terutama yang hadir dan ahli Rumah Ngaji untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
"Walaupun kami kumpulan yang kecil, sekurang-kurangnya orang tahu apa yang kami lakukan. Program ini tidak akan terhenti di sini dan kita akan terus meniup semangat ahli-ahli Rumah Ngaji untuk bersama-sama dalam perjuangan ini," katanya kepada Sinar Harian selepas program berkenaan.
Normah Hanum berkata, pihaknya mengharapkan semua penggerak Rumah Ngaji di negeri ini terus melaksanakan program #QuranHour For Gaza di tempat masing-masing agar semangat untuk membela Palestin tidak terhenti.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, penganjuran program itu dilaksanakan susulan #QuranHour For Gaza yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada 22 Oktober lalu.
Katanya, Rumah Ngaji Perak memilih Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz sebagai lokasi utama bertujuan membolehkan lebih ramai masyarakat menyertai program berkenaan.
Pada majlis sama turut diadakan kutipan sumbangan untuk Palestin yang bukan sekadar wang ringgit tetapi ada dalam kalangan ahli Rumah Ngaji menyerahkan barang kemas sebagai usaha membantu masyarakat di negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!