‘Sekolah perlukan dana baiki bumbung, fasiliti lain’ - PIBG
SUBANG JAYA - Bantuan untuk memperbaiki bumbung sekolah termasuk kerusi meja memerlukan sebahagian dana yang cukup besar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Fadzil Kamarul Zaman berkata, setakat ini semua pihak berganding bahu mengumpulkan dana bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Subang Jaya menerusi program CEO Cilik.
Menurutnya, peruntukan persekolahan yang sedia ada tidak cukup untuk memperbaiki bumbung kelas dan juga kantin yang kini semakin rosak akibat serangan anai-anai.
“Kami memang memerlukan dana kerana sebelum ini PIBG hanya dapat mengutip 40 peratus sahaja yuran kerana terdapat keluarga tidak mampu membayar kepada pihak sekolah.
“Bantuan ini penting bagi memperbaiki bumbung yang bocor dan apabila hujan murid-murid perlu dipindahkan kerana kelas mereka banjir. Siling juga sudah ada yang runtuh.
“Kita mahu murid belajar dalam keadaan selesa dan dengan usia sekolah yang sudah lebih 40 tahun memerlukan pemulihan bangunan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah yang juga merasmikan majlis tersebut.
Mengulas lanjut, menurut Fadzil, hasil kutipan dana tersebut bukan sahaja membantu memperbaiki infrastruktur atau menambah bahan pembelajaran, tetapi digunakan juga untuk pembangunan sukan.
Jelasnya, setakat ini segala usaha untuk membersihkan sekolah mahupun memperbaiki bangunan sekolah adalah hasil kerjasama ibu bapa.
Ulasnya, walaupun sekolah yang didiami oleh 400 pelajar itu berada di tengah bandar, namun fasiliti dan kelengkapan sekolah masih tidak mencukupi.
“Kami berharap ada pihak seperti yayasan atau badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu pihak sekolah.
"Kadangkala hendak buat aktiviti sekolah memang susah kerana dana sedia ada tidak mencukupi. Mereka yang mahu menderma boleh terus salurkan ke akaun Maybank PIBG 562302611739,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!