Keluarga pemandu mahu selesai cara baik - Anak mangsa

Suami mangsa (duduk kanan, bertongkat) dikatakan tidak berganjak beberapa jam selepas kejadian. (Gambar kecil: Tan Joo Lan)
Suami mangsa (duduk kanan, bertongkat) dikatakan tidak berganjak beberapa jam selepas kejadian. (Gambar kecil: Tan Joo Lan)
A
A
A

JEMPOL - Keluarga pemandu warga emas yang merempuh kedai makan di Bahau sehingga menyebabkan seorang wanita maut telah menghubungi waris mangsa untuk membuat pertemuan bagi permohonan maaf dan menyelesaikan hal berkenaan secara baik.

Anak perempuan mangsa yang enggan dikenali, 40-an berkata, mereka sekeluarga bersedia untuk bertemu agar perkara itu tidak lagi dipanjangkan memandangkan ibu mereka telah pun meninggal dunia.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak dapat dilupakan oleh mereka sekeluarga tambahan mendiang ibunya kerap bersarapan di situ sejak sekian lama dengan bapanya yang uzur.

" Ya ibu selalu ke sana dengan bapa untuk sarapan setiap pagi, boleh dikatakan ia kedai kegemaran mereka berdua.

"Saya juga minta orang ramai tidak menularkan gambar mendiang ibu ketika kejadian, cukuplah dengan kesedihan yang sedang kami tanggung sekarang," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Satelite, Bahau pada Sabtu.

Suasana kediaman keluarga mangsa di Taman Satelite, Bahau pada Sabtu.
Suasana kediaman keluarga mangsa di Taman Satelite, Bahau pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Camry ketika sedang bersarapan di sebuah kedai makan di Taman Meranti, Bahau pada Jumaat.

Kejadian pada jam 8.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Tan Joo Lan, 75, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian leher.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan, suami mangsa yang bertongkat berada di lokasi kejadian dikatakan tidak berganjak walaupun mayat isterinya sudah dibawa ke Hospital Jempol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi memaklumkan pemandu kereta iaitu lelaki berusia 78 tahun itu merupakan pelanggan tetap kedai makan di situ dan datang hampir setiap pagi untuk bersarapan.

"Dia tidak direman dan diberi jamin polis setelah siasatan selesai. Pemandu disyaki cuai dan gagal mengawal kenderaan lalu merempuh orang awam yang sedang makan di kedai makan.

"Hasil ujian air kencing ke atas pemandu juga didapati negatif dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!