Nikmati air bersih selepas 57 tahun

Zafri (dua dari kiri) dan Zawahir (dua dari kanan) menunjukkan air bersih hasil Projek Bekalan Air Bersih Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia.
Zafri (dua dari kiri) dan Zawahir (dua dari kanan) menunjukkan air bersih hasil Projek Bekalan Air Bersih Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia.
A
A
A

KUALA KRAI - Selepas 57 tahun berdepan masalah air keruh, hampir 1,000 penduduk di Kampung Bijih dan Kampung Jela di sini, akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih menerusi Projek Bekalan Air Bersih Etiqa.

Projek bernilai RM276,375 itu dilaksanakan Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) bermula September lalu dan siap dalam tempoh dua bulan.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Amin, 67, berkata, penduduk bergantung pada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran dengan menggunakan sistem graviti yang dibina secara bergotong-royong.

Abdul Aziz
Abdul Aziz

Katanya, masalah utama yang dihadapi adalah kekurangan air di tempat tadahan sedia ada berikutan kerosakan paip dan kerap bocor serta saiz tandak kecil sekali gus tidak dapat menampung keperluan penduduk di kampung itu.

“Selama ini, kami minum air dari sungai atau bukit yang tidak dirawat dan tidak bersih manakala keadaan air juga lebih keruh ketika musim hujan kerana bercampur lumpur.

“Orang kampung juga boleh terkena cirit-birit dan mengalami kegatalan kulit kerana menggunakan air yang tidak bersih itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Bersih Etiqa di Kampung Bijih di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Zafri (dua dari kanan) dan Zawahir (dua dari kiri) melawat tangki simpanan air bersih.
Zafri (dua dari kanan) dan Zawahir (dua dari kiri) melawat tangki simpanan air bersih.

Turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Seorang lagi penduduk, Sofi Mardiana Mat Salleh, 45, berkata, hasil projek tersebut memberi kelegaan kepada suri rumah sepertinya yang tidak perlu lagi berdepan pakaian rosak akibat air keruh apabila dibasuh.

Sofi Mardiana
Sofi Mardiana

“Kesihatan penduduk juga terjamin kerana air ditapis dan dirawat terlebih dahulu sebelum diminum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim berkata, menerusi projek itu, tandak air lama yang terletak di kawasan bukit berhampiran kampung-kampung tersebut dinaik taraf bertujuan mendapatkan bekalan air lebih banyak dan tekanan lebih tinggi sebelum disalurkan ke rumah pam.

Zafri
Zafri

Menurut beliau, sistem graviti digunakan bagi penyaluran air dari tandak melalui paip poli sepanjang tiga kilometer dari muka sauk ke rumah pam dan ditapis serta dirawat dengan Sistem Penapis Air Membran Sintetik Berskala Tinggi sebelum disimpan dalam dua tangki simpanan berkapasiti 10,000 gelen.

Ujarnya, air terawat kemudian disalurkan terus ke paip utama dan turut dibina pusat pengambilan air di kawasan berhampiran bagi memudahkan penduduk mengambil air bersih untuk kegunaan harian.

Jelas beliau, setakat ini, 18 projek sama sudah dilaksanakan di seluruh negara sejak 2017 dengan kawasan pedalaman di Kelantan dan Kedah paling banyak menerima kemudahan berkenaan.

“Setiap projek menelan belanja sekitar RM250,000 hingga RM300,000 dan dapat memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukan.

“Projek ini selari dengan visi kami untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik dan bukti keprihatinan Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial serta ekonomi masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat bawah slogan Etiqa Cares,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!