MPS tanam 1,850 pokok sebagai strategi pembangunan SDG
SHAH ALAM - [DKEMAS KINI] Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menanam sebanyak 1,850 pokok sebagai strategi serampang dua mata bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Yang Dipertua MPS, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, program tersebut dapat membantu mencapai matlamat pembangunan bandar yang mampan menerusi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Menurutnya, seramai lapan pemaju hartanah telah menyumbang pokok bagi menjayakan program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni MPS.
Antara syarikat yang memberi sumbangan adalah Sime Darby Property Sdn Bhd sebanyak 1,000 anak pokok, Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Gombak (50), Daikin Malaysia Sdn Bhd (500), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (200) dan Malaysia Nature Society (100) anak pokok.
“Tahun ini sehingga Oktober 2023, MPS telah berjaya menanam sebanyak 35,041 pokok di bawah kawasan pentadbiran Selayang seperti di Jalan Anggun Perdana, Mukim Rawang, Kolej Komuniti Selayang dan Bukit Rahman Putra.
“Selain itu, penaja seperti Steris Technology pula telah menyuntik dana sebanyak RM1,000, Vivar Printing dengan RM500 dan Joo Can Factory turut menyumbang 100 pasang sarung tangan bagi kegunaan sukarelawan untuk menanam pokok-pokok ini.
“1,000 pokok akan ditanam di tapak pelancaran, 450 pokok di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Batu, Gombak dan 400 pokok di Taman Pinggiran Pelangi, Rawang,” katanya ketika berucap sempena Program Kempen Tanam Pokok Perdana MPS 2023 di Kawasan Lapangan 2, Elmina Business Park pada Sabtu.
Perasmian program disempurnakan Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Ujar beliau, program berkenaan selari dengan Teras Tiga pemacuan kelestarian dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 yang penting bagi sektor daya tahan dan pengurusan bencana serta pengurusan air.
Jelasnya, kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan RM400,000 bagi melaksanakan inisiatif itu sebagai usaha mengekalkan peratusan gazet kawasan Hutan Simpan Kekal.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pihaknya sentiasa menyokong program berbentuk penjagaan kelestarian alam sekitar kerana memberi manfaat dalam mengekalkan kesejahteraan komuniti setempat.
Ujar beliau, Sinar Karangkraf terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menganjurkan program yang dapat mewujudkan kesan positif signifikan terhadap kehidupan dan persekitaran masyarakat.
“Kita sebagai rakan strategik untuk program tanaman pokok anjuran MPS dan Sime Darby Properties. Sinar Harian berbangga dijemput untuk kolaborasi berkenaan.
“Sime Darby juga antara nama syarikat terulung dan dilihat kerjasama ini tepat. Kami amat mengalu-alukan segala program yang membina kelestarian dan memperkasakan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut berharap program tersebut dapat dijadikan contoh kepada syarikat korporat lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti seluruh Malaysia.
“Aktiviti seperti ini patut diteruskan kerana akan membawa lebih banyak faedah kepada kehidupan masyarakat dan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!