Virus pengkhianatan semakin menular dalam Bersatu - Wan Ahmad Fayhsal
SHAH ALAM - Virus pengkhianatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa semakin menular selepas terdapat ahli yang berpaling tadah dan bertindak menukar parti.
Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan agar ahlinya teguh bersama parti dan tidak menjadi pengkhianat.
“Semalam saya dengar wakil Wilayah Persekutuan minta kita membiarkan sahaja ahli yang sudah berlalu pergi. Katanya jangan sedih, jangan gundah. Mana boleh! Kita mesti rasa marah dengan pengkhianatan ahli-ahli yang meninggalkan kita.
“Malah ada di antara mereka yang kini menjadi tali barut kerajaan dan ada cubaan menyogok ahli kita untuk berpaling tadah dengan Bersatu,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Sebelum ini, mantan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan beliau dan tiga lagi ahli Parlimen Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Justeru, Wan Ahmad Fayhsal mengingatkan perwakilan supaya tidak mengulangi peristiwa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Jangan cabar kami, jangan cabar ahli-ahli Bersatu yang berkorban memenangkan kita dalam pilihan raya yang lalu.
“Jangan jolok sarang tebuan, adat Melayu pantang berdendam. Jangan dibakar antan kayu, antan tidak dimakan api. Jangan dicabar jantan Melayu, jantan Melayu tak takut mati," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!