Cacat penglihatan tak halang raih Anugerah Khas Ko-kurikulum
SHAH ALAM - Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Danial Mohd Sani,29, yang cacat penglihatan tidak menghalangnya daripada menerima Anugerah Khas Pencapaian Terbaik Ko-kurikulum,ʻAmr Ibn Al-Jamūḥ’.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah itu berkata, antara cabaran sepanjang bergelar mahasiswa adalah kesukaran mendapatkan bahan rujukan bagi menyiapkan tugasan.
Menurutnya, dia memerlukan bantuan rakan kuliah untuk membaca bahan rujukan tersebut sebelum disimpan dalam bentuk braille.
Ahmad Danial berkata, anugerah yang dikecapi itu adalah hasil dedikasi rakan-rakan pengajian dan hadiah buat ibu bapa serta pensyarah.
"Sedikit kesukaran yang saya lalui adalah apabila mencari bahan rujukan dalam bentuk buku dan internet apabila sumber dalam bentuk gambar.
“Anugerah ini adalah hadiah buat semua yang menjadi tulang belakang saya dan banyak membantu sehingga tamat pengajian.
“Terima kasih juga pada para pensyarah, rakan saya(Buddy) yang banyak bantu dalam urusan seharian seperti membawa saya ke kelas dan bantu dari segi akademik serta Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU) UIAM (DSU) memberikan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Anugerah kecemerlangan tersebut disampaikan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada sidang pembukaan Majlis Konvokesyen ke-39 universiti tersebut.
Pada Ogos lalu, Ahmad Danial telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.
Dia yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar Al-Quran Braille di Persatuan Orang Buta Malaysia antara 22 peserta termasuk enam daripadanya OKU turut menyertai Ekspedisi Kinabalu OKU Challenge 2022.
Acara tersebut adalah anjuran Pusat Pembangunan Sukan UIAM dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UIAM.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad Daniel, deria penglihatannya hilang sejak berusia tiga tahun akibat masalah katarak pada kedua-dua belah mata.
"Saya lahir dalam keadaan normal, tapi mula hilang penglihatan apabila umur menjangkau tiga tahun akibat daripada masalah katarak di kedua belah mata.
“Dalam keluarga saya seorang sahaja yang mempunyai masalah penglihatan dan adik keempat saya pula autisme,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!