Ahmad Faizal mengaku silap pilih calon Bersatu
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kesilapannya memilih calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu hingga ada yang mengkhianati parti termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak, beliau ada ‘suara’ untuk menentukan calon parti bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, termasuk Iskandar yang juga bekas setiausaha politiknya.
“Saya berasa amat kecewa kerana sahabat saya, mantan setiausaha politik yang diberi kepercayaan sebelum menjadi calon. Saya yang letakkan beliau sebagai calon di situ tetapi memungkiri taat setia kepada parti. Atas apa juga alasan, kita kecam.
“Namun saya ajak dia untuk mengkhianati parti, tidak sama sekali,” katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Oktober lalu, Iskandar menjadi Ahli Parlimen Bersatu pertama yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengambil kira masalah dan isu dihadapi pengundi kawasannya.
Tindakan tersebut kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Sementara itu, Ahmad Faizal turut menafikan terlibat dengan tindakan Iskandar sehingga timbul dakwaan wujud ‘Langkah London’.
“Benar saya berada di UK (United Kingdom), di rumah anak perempuan di Manchester, bukan London. Jika ada langkah (patut digelar) ‘Langkah Manchester’.
“Jadi kepada mereka yang telah menyebarkan fitnah, saya nak katakan andalah manusia paling berani kerana tidak takut azab seksa, hukuman menabur fitnah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!