Sivasangari takluk Terbuka Hong Kong
PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari mencipta sensasi apabila muncul juara Terbuka Hong Kong selepas mengejutkan bekas juara remaja dunia dua kali dari Mesir, Amina Orfi dalam aksi final sebentar tadi.
Tampil selaku pemain yang menghuni ranking ke-22 dunia, Sivasangari menoktahkan kemenangan 11-9, 11-8, 11-5, sekali gus menyambar gelaran kedua dalam Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional).
"Saya gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi menang dengan keputusan 3-0 menentang pemain yang sangat berbakat," kata Sivasangari kepada PSA.
Sebagai rekod, ini adalah gelaran kedua Sivasangari dalam Jelajah PSA selepas turut menjuarai Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 di Seremban, Negeri Sembilan, Ogos lalu.
Sivasangari ternyata berada pada tahap terbaiknya sejak kebelakangan ini selepas terpaksa berehat panjang akibat kemalangan jalan raya dialaminya pada Jun tahun lalu.
"Saya gembira dengan pencapaian saya setakat ini. Prestasi saya menunjukkan perkembangan positif dan berharap dapat mengekalkan momentum ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!