Gadis minat kisah pembunuhan dipenjara seumur hidup
SEOUL - Seorang gadis yang juga peminat tegar kisah jenayah pembunuhan dipenjara seumur hidup selepas menikam sehingga mati seorang tutor bahasa Inggeris.
Pendakwa raya di Korea Selatan memohon hukuman mati ke atas Jung Yoo-jung, tetapi gadis berusia 23 tahun itu merayu hukumannya diringankan kerana mendakwa dia mengalami halusinasi dan pelbagai masalah mental.
Sebelum ini, Yoo-jung mengaku kepada polis bahawa dia membunuh mangsa dengan menyamar sebagai pelajar sekolah menengah kerana rasa ingin tahu perasaan sebagai pembunuh.
Mahkamah Daerah Busan menyelamatkan nyawa Yoo-jung tetapi menolak dakwaannya bahawa pembunuhan dahsyat itu dicetuskan oleh penyakit mental, memandangkan jenayah tersebut telah dirancang dan dilaksanakan dengan teliti, kata Hakim Kim Tae-eob.
Yoo-jung disabitkan dengan kesalahan membunuh, mencemarkan nama baik dan meninggalkan mayat, lima bulan selepas dia didakwa membunuh secara kejam serta memotong anggota wanita berusia 26 tahun yang ditemuinya melalui aplikasi pada Mei.
Pendakwa raya berhujah bahawa Yoo-jung terlalu obses dengan rancangan televisyen serta buku bergenre jenayah dan memutuskan untuk membunuh seseorang dalam kehidupan sebenar semata-mata memuaskan rasa ingin tahunya tentang pembunuhan.
Menurut polis, Yoo-jung tinggal bersama datuknya dan suka menyendiri serta menganggur sejak menamatkan pengajian dari sekolah menengah, kira-kira lima tahun lalu.
Gadis tersebut telah menggunakan telefon bimbitnya dan menyemak buku dari perpustakaan untuk membuat penyelidikan tentang cara menyembunyikan mayat.
Dia telah menghabiskan masa berbulan-bulan mencari bakal mangsa melalui aplikasi yang menghubungkan ibu bapa kepada tutor dan menghubungi lebih 50 orang kebanyakannya wanita sebelum menemui seorang yang tinggal bersendirian dan menawarkan pelajaran di rumah.
Yahoo! News melaporkan Yoo-jung kemudian menyamar kononnya sebagai ibu kepada seorang pelajar Gred 9 dan mengatur agar anak perempuannya datang ke rumah mangsa untuk sesi belajar.
Pada 26 Mei lalu, Yoo-jung muncul di rumah wanita itu dengan berpakaian seragam sekolah yang diperolehnya dalam talian.
Sebaik berada di dalam rumah mangsa, dia didakwa menikam mangsa lebih 100 kali hingga mati dengan pisau sebelum memotong badan wanita itu.
Selepas ditangkap, Yoo-jung pada mulanya memberitahu polis bahawa dia hanya memindahkan mayat mangsa selepas dia dibunuh oleh orang lain.
Kemudian, dia mendakwa bahawa dia telah membunuh mangsa secara tidak sengaja semasa pertengkaran.
Akhirnya, dia mengaku melakukan pembunuhan kejam itu dan menyalahkan minatnya dalam genre jenayah sebenar.
Pada Jumaat, hakim yang menghukum Yoo-jung berkata pembunuhan itu telah "menyebarkan ketakutan dalam masyarakat bahawa seseorang boleh menjadi mangsa tanpa sebab" dan "menimbulkan ketidakpercayaan umum." - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!