Tunggu masa rumah ditelan laut
KEMAMAN - Penduduk di Kampung Geliga Besar dekat sini meluahkan rasa bimbang memikirkan nasib mereka yang bakal kehilangan tempat tinggal kerana diancam hakisan akibat dibadai ombak besar.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati beberapa rumah berhampiran pantai sudah mula runtuh, selain dibiarkan tidak berpenghuni susulan penduduk sudah meninggalkan kediaman tersebut sejak lapan tahun lepas.
Menurut seorang penduduk, Wan Mohd Herman Wan Ali, 37, apabila masuk musim tengkujuh akan berlaku ombak besar sehingga menyebabkan banyak rumah berhampiran pantai dinaiki air serta mengalami kerosakan dan runtuh.
"Dahulu memang banyak rumah berhampiran pantai ini dan dianggarkan lebih 20 rumah, namun kebanyakan sudah roboh akibat hakisan. Setakat ini rumah saya masih ada namun ia sudah mengalami keretakan.
"Melihat keadaan sekarang ini, tidak mustahil dalam masa tiga tahun lagi rumah saya juga akan lenyap dan ditelan laut jika tiada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak berkaitan untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada Sinar Harian.
Wan Mohd Herman berharap kerajaan dapat membina benteng penahan ombak bagi memastikan keselamatan rumah penduduk.
"Jika tiada sebarang tindakan maka tidak mustahil kebanyakan rumah di sini musnah akibat dipukul ombak besar," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Faiz Halim, 36, berharap kerajaan negeri serta pusat dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama itu terutama ketika berlaku fenomena air pasang besar di kawasan berkenaan.
"Disebabkan masalah ini, banyak rumah yang retak dan hampir nak roboh. Jadi ramai orang yang pernah duduk di bahagian depan dan hampir dengan pantai sudah pindah ke tempat lain.
"Kebanyakan rumah di kawasan itu sudah kosong dan sudah tidak didiami.
"Pernah dahulu terserempak ada orang datang ukur nak buat benteng tapi sekarang tak ada apa-apa tindakan pun, kasihanlah kepada penduduk sebab kami bukan orang senang," ujarnya.
Berkongsi pandangan sama, penduduk, Sapinah Sapei, 45, berkata, dia hidup dalam kebimbangan selepas mengetahui rumah yang didiaminya itu akan dinaiki air pada musim tengkujuh.
"Saya baru berpindah ke rumah sewa ini sejak tiga bulan lepas. Apabila tahu rumah ini akan dimasuki air jika berlaku air pasang besar, saya sudah mula risau dan takut.
"Rumah ini pun mula retak dan takut nanti sedar-sedar sahaja dari tidur, rumah sudah ditenggelami air. Jadi saya buat keputusan untuk berpindah secepat mungkin dan kini sedang ikhtiar cari tempat tinggal lain yang lebih selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!