15 lokasi berpotensi dijadikan perkampungan tersusun - Sanusi
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengenal pasti 15 lokasi tapak berpotensi untuk dijadikan perkampungan tersusun di bawah Program Tanah Rakyat di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia akan melibatkan 939 plot kediaman dengan keluasan 3,500 hingga 4,000 kaki persegi.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan terus memberi perhatian dan tumpuan kepada inisiatif Program Tanah Rakyat untuk membela nasib rakyat Kedah.
"Kita mensasarkan rakyat Kedah terutama warga miskin dan golongan asnaf untuk memiliki tanah sendiri sekurang-kurangnya ada tapak rumah.
"Sehingga hari ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti 15 lokasi berpotensi untuk dijadikan perkampungan tersusun di Kedah," katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2024 di Wisma Darul Aman, di sini, pada Ahad.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berharap program berkenaan akan memberi manfaat kepada mereka yang berkelayakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!