Muhyiddin 'kunci' pemerkasaan Bersatu

Muhyiddin (dua kanan) bersama kepimpinan parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 Gambar kecil: Mohd Solihan
Muhyiddin (dua kanan) bersama kepimpinan parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 Gambar kecil: Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan parti tidak pernah ketandusan pemimpin sebaliknya keberadaan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin penting untuk memperkasakan parti.

Timbalan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, keberadaan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh cukup penting bagi memastikan parti tidak kehilangan pemimpin berwibawa dan berintegriti.

Seterusnya dapat orang Melayu mempunyai parti yang dapat menjamin, mempertahan dan memperjuangkan kepentingan mereka.

"Keputusan Tan Sri Muhyiddin mengekalkan 'status quo' juga bermakna beliau masih menjadi alternatif kepada pemimpin kerajaan sekarang yang gagal merealisasikan janji mahupun manifesto walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) genap setahun pada 19 November lalu.

"Namun Bersatu Johor ingin menegaskan, harapan dan dambaan kami kepada kepemimpinan Muhyiddin bukan bermakna parti ketandusan pemimpin, tetapi pembabitan dan input beliau masih diperlukan bagi melaksanakan proses penambahbaikan serta pemerkasaan parti," ujarnya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Solihan menambah keberadaan Muhyiddin di kerusi Presiden turut menjamin persiapan Bersatu menuju PRU16 malah memastikan keutuhan kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan yang membentuk gagasan Perikatan Nasional (PN).

"Muhyiddin sinonim dengan Bersatu dan PN. Justeru, tanpa beliau maka kedua-dua entiti politik ini boleh terjejas bahkan menghampakan harapan sebahagian besar rakyat terhadap sebuah parti utama Melayu yang mendokong kepemimpinan Islam di negara ini.

"Bersatu Johor lega dan berterima kasih kepada Muhyiddin yang bersetuju menarik balik keputusan tidak mempertahankan kerusi Presiden pada pemilihan parti pada penghujung 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Muhyiddin dilaporkan membuat pusingan U, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Bersatu pada Khamis, Muhyiddin membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan.

Menjelaskan keputusan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan berkata, ia selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang mahu beliau untuk terus mencurahkan khidmat kepada negara.

Dalam pada itu, Mohd Solihan berkata, Muhyiddin adalah negarawan yang masih diperlukan rakyat yang memahami pentingnya nilai murni mesti ada pada seorang pemimpin.

Oleh itu, katanya Bersatu Johor yakin pengorbanan Muhyiddin itu akan dibalas dengan kesetiaan, komitmen serta perpaduan kalangan ahli mahupun pemimpin demi memastikan kekukuhan parti untuk melalui landskap baharu politik negara yang lebih mencabar sekarang.

"Dengan keputusan untuk mempertahankan jawatan Presiden sehingga pemilihan akan datang, kalangan wakil rakyat Bersatu sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula harus menjadikan pengorbanan Muhyiddin sebagai penguat semangat perjuangan dan kesetiaan kepada parti.

"Bersatu Johor yakin baiah pemimpin Bahagian dan perwakilan parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 semalam, akan dizahirkan dalam bentuk semangat dan kesungguhan untuk mengukuhkan parti serta menambahkan ahli sekali gus cawangan di seluruh negara.

"Kami turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Seri Datin Noorainee Abdul Rahman dan keluarga kerana dapat menasihati serta berbincang bersama Muhyiddin supaya menarik balik keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti pada 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!