Malaysia teliti pasang pagar elektrik, CCTV di sempadan
SEREMBAN - Malaysia akan meneliti keperluan untuk menambah anggota tentera dan kelengkapan sistem keselamatan dalam usaha memperketatkan kawalan di kawasan persempadanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk dari segi pemasangan pagar elektrik dilengkapi sistem kamera tertutup (CCTV) sepertimana dilakukan kerajaan Thailand.
"Kita tengok macam mana, sama ada kita memerlukan CCTV, penambahan anggota. Buat pagar elektrik, ini kena kerjasama dengan Thailand, Indonesia agar tempat ada pos kawalan gabungan bersama kita mesti sama-sama kawal sempadan.
"Ada juga kawasan berjauhan, pos kita dengan pos mereka. Ini perlu kita lihat bagaimana keberkesanan untuk kawal sempadan kita," katanya kepada pemberita selepas selesai merasmikan Karnival Kesihatan dan Jualan Agro Madani 2023 di Senawang pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan Thailand bercadang memperketatkan kawalan di kawasan bersempadan Malaysia dengan membina pagar elektrik dilengkapi CCTV membabitkan kos kira-kira 600 juta bath atau RM79.3 juta, yang dilihat turut memberi manfaat kepada negara.
Ia bagi mengekang sindiket penyeludupan seperti dadah, manusia, senjata api dan sebagainya yang telah lama membelenggu Malaysia susulan pelbagai taktik digunakan oleh penjenayah.
Ujar Mohamad, usaha yang dilakukan negara jiran itu sesuatu yang baik dan baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan Khas memberi peruntukan besar bagi memperkasa kawalan sempadan.
“Kita mempunyai pos kawalan persendirian dan juga pos kawalan gabungan bersama, jadi ini kita uruskan dan yang penting sekali kelengkapan anggota kita bagi mengawal sempadan, baik polis mahupun tentera diberi keutamaan kerana kelengkapan itu sangat penting," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Malaysia juga dalam proses perolehan bagi penggunaan aset seperti dron untuk mengawal sempadan dengan lebih efektif, di samping keperluan pelbagai aset lain.
“Apa yang paling penting sekali, menaik taraf pos-pos kawalan di kawasan sempadan di sepanjang Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia di Kalimatan dan ini sedang dilakukan secara berperingkat.
"Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian yang dialami negara. Banyak cukai tak dapat kita kutip dan banyak barang bersubsidi kita ke luar.
"Justeru, bagi memastikan rentas sempadan terutamanya penyeludupan dapat ditangani, perlu ada usaha serta kawalan dilakukan kerana penyeludupan merupakan satu ancaman kepada negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!