KPM digesa pantau kakitangan tidak sokong kerajaan

Haryati membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC pada Ahad.
Haryati membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mewujudkan jawatankuasa pemerhati untuk memantau kakitangan yang tidak memberi sokongan kepada kerajaan.

Perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir berkata, situasi itu kini kian membimbangkan dan langkah segera perlu dilakukan.

“Kami mohon Kementerian Pendidikan, mungkin baik andainya diwujudkan jawatankuasa pemerhati kerana adanya fenomena dalam kalangan kakitangan yang membimbangkan yang tidak menyebelahi Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Ahad.

Beliau turut menyatakan keinginan ahli bawahan yang ingin bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Besarlah harapan kalaupun tidak dapat bertemu dengan Perdana Menteri dapat bertemu dengan presiden parti okaylah,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan supaya bantuan kewangan yang disalurkan biarlah menguntungkan parti dan tidak mengalir kepada pihak lain.

Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 bermula pada Sabtu mengangkat tema 'Memaknai Reformasi, Menjulang Madani'.

Kongres selama dua hari itu dimulakan dengan perasmian serentak Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah Kongres tahunan yang pertama yang dihadiri oleh sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun PKR bersama-sama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Kongres ini dimeriahkan dengan kehadiran perwakilan seramai 2,374 orang dan pemerhati 1,500 orang, dari Sabah hingga Perlis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!