Banjir Bukit Tinggi: Menteri, wakil agensi adakan mesyuarat tergempar
KUANTAN - Satu mesyuarat tergempar diadakan ekoran kejadian banjir kilat di Bukit Tinggi, Bentong pada malam Sabtu.
Mesyuarat yang diadakan di Balai Polis Bukit Tinggi pada Ahad dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama wakil beberapa agensi kerajaan berkaitan.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, menteri telah mengambil maklum punca kepala air yang menyebabkan runtuhan cerun dan kerosakan jalan.
Menurutnya, bencana yang berlaku turut merosakkan pelbagai harta benda penduduk selain menjejaskan aktiviti harian dan ekonomi kawasan pelancongan itu.
"Kajian menyeluruh akan dibuat pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kerja-kerja mitigasi yang diperlukan untuk seluruh daerah Bentong khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk Bukit Tinggi dan Janda Baik.
"Pada masa yang sama, kerja-kerja baik pulih cerun, jalan, kerja pembersihan dan pendalaman sungai akan dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS buat sementara waktu sebelum pelan baik pulih jangka panjang dilakukan," katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya pada Ahad.
Young Syefura berkata, siasatan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti sekiranya terdapat penerokaan haram hutan simpan di atas bukit dan kemungkinan terdapat kawasan takungan hujan yang berpotensi menyebabkan kepala air setiap kali berlaku hujan lebat.
Banjir kilat dengan arus air deras melanda sekitar kawasan Bukit Tinggi ekoran hujan sangat lebat dan berterusan beberapa jam pada malam Sabtu.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam itu dirakam dan dikongsi netizen di media sosial.
Berdasarkan rakaman video yang tular, aliran air deras dari kawasan tinggi melimpah membanjiri jalan raya menyebabkan beberapa kenderaan yang diparkir tidak sempat dialihkan.
Air turut memasuki beberapa premis milik penduduk hingga ada harta benda yang rosak akibat bencana itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!