PKR perkenal syiling khas sempena jubli perak tahun depan

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung melancarkan syiling peringatan sambutan Jubli Perak PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung melancarkan syiling peringatan sambutan Jubli Perak PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Duit syiling peringatan khas PKR diperkenalkan bersempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan parti berkenaan yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden parti.

Pengerusi Sambutan Jubli Perak PKR, Wong Chen berkata, idea menghasilkan duit syiling khas itu dicetuskan Anwar bulan lepas sempena meraikan sambutan Jubli Perak PKR, pada 4 Mei tahun hadapan.

"Tahun hadapan ulang tahun ke-25 PKR ditubuhkan. Ia merupakan satu milestone yang bermakna dan penting," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Chen yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, tiga corak telah dikemukakan kepada Anwar dan Presiden PKR itu sendiri memilih corak syiling yang memaparkan gambar beliau ketika memberi ucapan pertama reformasi negara di Masjid Negara pada 20 Sept 1998.

Menurut Chen, tempahan awal duit syiling yang dihasilkan Royal Selangor itu boleh dibuat bermula hari ini dan penghantaran akan dibuat bermula Mac tahun depan.

Katanya, terdapat dua jenis syiling ditawarkan iaitu logam perak yang dijual pada harga RM100 bermula hari ini hingga akhir tahun namun mulai tahun depan ia dijual dengan harga RM120.

Sementara jenis piuter berlapis emas (gold gilded pewter) dijual dengan harga RM500 bermula hari ini sehingga akhir tahun, manakala pada tahun depan ia akan dijual pada harga RM600.

Chen meminta semua ahli untuk menyokong dengan memiliki duit syiling khas dan menjadi sebahagian sejarah sempena sambutan Jubli Perak PKR. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!