Kedah tempat ketiga senarai pelaburan negara

Sanusi ketika membentangkan Belanjawan 2024 di DUN Kedah pada Ahad.
Sanusi ketika membentangkan Belanjawan 2024 di DUN Kedah pada Ahad.
A
A
A

KEDAH kini berada di tangga ketiga teratas dalam senarai pelaburan negara selepas Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah berjaya mengekalkan prestasi pelaburan memberangsangkan bagi setengah tahun pertama tahun ini dengan keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama (primer) berjumlah RM14.6 bilion.

Menurutnya, daripada nilai keseluruhan pelaburan tersebut, sebanyak RM11.88 bilion merupakan pelaburan asing (FDI) dan RM2.69 bilion pelaburan domestik (DDI).

“Pelaburan asing tertinggi adalah dari Jepun dengan nilai RM7.38 bilion, diikuti China RM4.16 bilion, Singapura RM149.5 juta, Hong Kong RM104 juta dan Netherlands RM61.28 juta,” katanya.

Sanusi berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Kedah ke-15 (Mesyuarat Bajet 2024) di Wisma Darul Aman, di sini, pada Ahad.

Menurutnya lagi, pencapaian ini menyaksikan Kedah berjaya melepasi sasaran pelaburan tahunan untuk kali ketiga berturut-turut sejak 2021, yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebanyak RM10 bilion setahun.

“Kedah terus menjadi tumpuan pelabur terutama pelaburan berimpak tinggi dari dalam dan luar negara.

“Pencapaian ini adalah indikator Kedah adalah sebuah negeri kompetitif serta berdaya saing bagi sektor pelaburan di peringkat nasional mahupun global,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi tegaskan, keseluruhan pelaburan yang diluluskan itu bakal menjana 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah dalam pelbagai bidang termasuk elektrikal & elektronik, petrokimia, mekanikal dan sebagainya.

“Antara faktor kejayaan kita dalam sektor pelaburan ialah inovasi Permit Pembinaan Ekspres (E10). Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) yang melaksanakan idea pemerkasaan ini berjaya memperoleh tempat kedua bagi Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan itu melonjakkan Kedah sebagai negeri mesra pelabur bagi memudahkan urusan pelaburan ke Kedah.

“Pelaburan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus menjadi tumpuan, pelaburan terkumpul sejak kewujudannya ialah RM134.1 bilion melibatkan 43 pelabur industri.

“Permintaan tinggi daripada pelabur menyebabkan pembesaran KHTP dilakukan melalui Pembangunan Fasa 4A berkeluasan 250 ekar yang dijangka siap pada September 2025,” katanya lagi.

Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri juga sedang berusaha melaksanakan sistem pengurusan perbandaran yang mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dikenali sebagai Bandar Pintar.

“Sistem Bandar Pintar akan diimplimentasi dalam menangani isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan alam sekitar mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar lebih cekap.

“Sebagai sebahagian daripada agenda Transformasi Digital Kedah, pembangunan bandar pintar bagi PBT telah dilaksanakan secara berperingkat melalui beberapa inisiatif. Antaranya, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mendapat Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia pada 9 November lalu di Putrajaya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!