Kerja pembaikan jalan punca Lebuhraya Pasir Gudang, sesak - Exco
ISKANDAR PUTERI - Kesesakan luar biasa di Lebuhraya Pasir Gudang sejak kebelakangan ini disebabkan peningkatan hampir dua kali ganda kerja-kerja pembaikan yang dilakukan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, terdapat 27 lokasi kerosakan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang menerima peruntukkan pembaikan pada tahun ini berbanding hanya 11 lokasi tahun lepas.
"Isu kesesakan ini turut tular di media sosial disebabkan oleh banyak faktor termasuk peningkatan kerja pembaikan yang dijalankan. Terdapat 27 kerja pembaikan yang diluluskan dan sedang dilaksanakan di kawasan Lebuhraya Pasir Gudang.
"Selain itu terdapat 115 lagi kerja pembaikan sedang dilakukan di kawasan lain dalam Johor Bahru yang dilaksanakan JKR Johor (19 kerja), pihak berkuasa tempatan (PBT) (63 kerja) dan Jalan Persekutuan (33 kerja), menjadikan beberapa laluan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang mengalami kesesakan berbanding biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, di sini, pada Ahad.
Ditanya mengenai rungutan pengguna jalan raya di Johor Bahru yang berdepan kesesakan ketika kerja-kerja pembaikan jalan dilakukan, Mohamad Fazli berkata, terdapat beberapa kaedah pembaikan yang dilakukan yang mengambil masa agak panjang.
"Sebahagian kerja pembaikan yang dilakukan adalah menggunakan kaedah Cold-in-place Recycling (CIPR) yang mana, kaedah ini memerlukan jalan dikorek, dibancuh dengan simen dan perlu dibiarkan terbuka selama 72 jam.
"Bagi mempercepatkan lagi tempoh kaedah ini, JKR telah memendekkan tempoh tersebut kepada 12 jam tetapi dengan syarat ketahanan bancuhan menepati syarat yang ditetapkan.
"Kerja-kerja pembaikan jalan telah diarahkan untuk dilakukan bukan pada waktu puncak iaitu pada sebelah malam. Kemungkinan disebabkan kurang pemantauan, ada kerja-kerja yang terlajak sehingga ke waktu puncak," katanya.
Mohamad Fazli memberitahu Jawatankuasa Menangani Kesesakan Bandar Johor Bahru ditubuhkan dan bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang sering berlaku kesesakan serta meneliti cadangan bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!