Warisan terbuka kerjasama dengan UMNO pada PRN akan datang
LABUAN - Parti Warisan terbuka dengan kemungkinan membentuk pakatan strategik dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, selagi ada keserasian antara kedua-dua parti, Warisan terbuka kepada sebarang kemungkinan kerjasama.
"Warisan adalah parti terbuka kepada sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak yang memahami perjuangan parti untuk rakyat di Sabah dan Labuan, malah ketika ini juga Warisan sudah pun sehaluan dengan UMNO dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Labuan di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan untuk bekerjasama akan tertakluk kepada penjajaran matlamat dan keutamaan antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun beliau berkata, potensi kerjasama antara Warisan dan UMNO tidak mustahil, dan keputusan itu akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti apabila tiba masanya.
"Pada masa ini, keutamaan Warisan adalah untuk mengukuhkan kehadirannya di semua cawangan dan bahagian, misi dan visi parti ini adalah untuk konsisten dalam perjuangan iaitu untuk hak rakyat dan negeri,” katanya.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 19 November berkata, UMNO Sabah tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada pilihan raya negeri akan datang, bagaimanapun menurutnya masih terlalu awal untuk membuat sebarang komitmen yang kukuh.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, tumpuan Warisan sekarang adalah untuk menyatupadukan ahlinya bagi membawa kestabilan menjelang pilihan raya.
Beliau menggesa semua ahli parti supaya merapatkan barisan bersama dengan kepimpinan dan menumpukan perhatian kepada usaha menangani isu serta agenda rakyat, khususnya memberi tumpuan kepada pengundi muda, di samping menyeru supaya permainan politik dikurangkan dalam memberikan perkhidmatan rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!