Kekalkan kemenangan PRU akan datang, agenda dapat terus dilaksana - Nurul Izzah
PUTRAJAYA - Gabungan Kerajaan Perpaduan perlu mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan agenda dirancang demi kebaikan rakyat dapat terus dilaksanakan, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, kemenangan itu harus bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan seawal tahun depan.
"Kemenangan pertama kita dirampas melalui langkah Sheraton (pada 2020) dan kemenangan kali ini (penubuhan Kerajaan Penubuhan) dicapai melalui gabungan.
"Jadi kita tidak boleh meneruskan agenda kita kalau tidak kekal kemenangan pada pilihan raya akan datang termasuk bermula dengan (PRN) Sabah," katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berkata, anggota PKR juga harus mengelak daripada budaya fitnah bukan sahaja dari luar malah dalam parti kerana ia boleh ‘membunuh’ kejayaan parti walau sekecil mana pun, sekali gus ‘membakar’ usaha perjuangan mereka selama ini.
"Kalau kita boleh husnuzon (berbaik sangka) dengan parti lawan, takkan kita tak boleh husnuzon sesama sendiri,” katanya.
Nurul Izzah memberitahu perjuangan PKR sejak 25 tahun lepas adalah selari dengan ajaran Islam yang memperjuangkan rakyat dan menolak kezaliman.
Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kepimpinan dan jentera PKR agar tidak putus asa untuk memenangi hati pengundi di Pantai Timur pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, keputusan PRN di enam negeri pada Ogos lepas tidak wajar dijadikan alasan meminggirkan pengundi di negeri-negeri Pantai Timur.
"Saya mohon untuk kita fikir jangka panjang memang kita belum menang di sana tetapi jangan ada pimpinan yang berputus asa dan memandang rendah kepada masyarakat di Pantai Timur," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi MPN Kelantan dan Terengganu (MPN) berkata, suatu ketika dulu pimpinan juga hadapi kesukaran dalam memenangi pengundi di Selangor, Sabah dan Sarawak, namun sekarang PKR dapat menembusi negeri-negeri berkenaan.
Nik Nazmi turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan mampu meraih sokongan pengundi Pantai Timur sekiranya tekad menyelesaikan isu banjir yang seharusnya menjadi keutamaan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Perpaduaan harus tegas melaksanakan dasar dan reformasi memandangkan gabungan itu kini menjadi pentadbir, dan tidak berasa gundah-gulana terhadap kritikan.
Beliau berkata, model perpaduan di Selangor dan Pahang akan terus diperkukuh kerana dalam sejarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR merupakan pemimpin pertama yang berjaya mengumpulkan 18 parti sebagai satu gabungan.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata setiap inisiatif digariskan Kerajaan Perpaduan adalah selari dengan matlamat parti, dan antara tindakan perlu diambil adalah mengukuhkan komunikasi yang menjadi kunci membentuk perspektif positif. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!