Kerajaan Perpaduan berjaya tingkat kerjasama dengan Singapura
PUTRAJAYA - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura kini berjaya ditingkatkan di bawah Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu berhasil setelah segala prasangka lama membabitkan isu air, sempadan dan ruang udara diselesaikan melalui tekad politik.
Menurutnya, perkara tersebut juga telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
"Dalam beberapa kali pertemuan saya dengan Perdana Menteri Singapura saya beritahu bahawa pentadbiran Kerajaan Perpaduan mengambil sikap sangat positif.
"Saya juga terima perakuan beliau bahawa semua hal yang terbantut sama ada soal air, sempadan atau ruang udara yang kita sudah tunggu puluhan tahun harus ada tekad politik untuk menyelesaikan.
"Ia juga (perlu) memberi keuntungan kepada kedua-dua negara," katanya ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, atas semangat itu juga terdapat perancangan untuk mewujudkan zon ekonomi di Johor yang diselenggara oleh Menteri Ekonomi kedua-dua negara.
Katanya, kerjasama yang ditingkatkan itu juga akan turut memberi faedah kepada Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!