Pembangkang hanya suka ‘acah-acah’ Kerajaan Perpaduan - Rafizi
PUTRAJAYA - Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan pembangkang kini hanya suka memainkan sentimen ‘acah-acah’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, Kerajaan Perpaduan perlu memastikan kestabilan politik yang berjaya dibawa Anwar merangkap Presiden PKR itu selepas setahun pentadbiran kerajaan terus dikekalkan.
Ini kerana, beliau berkata, kaedah acah-acah dimainkan pembangkang itu telah bermula sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
"Daripada dulu macam-macam yang pembangkang mula acah. Mula-mula masa tempoh seminggu itu (selepas pasca PRU15), dia (pembangkang) acah cukup jumlah (sokongan untuk menjadi Kerajaan Persekutuan).
"Kemudian, selepas Datuk Seri Anwar angkat sumpah (sebagai Perdana Menteri) masih lagi acah nak tebuk atap sehinggakan pelabur dan media tanya kita, adakah kerajaan ini akan tumbang.
"Selepas itu, masuk bulan empat (April) dan lima (Mei) acah baharu pula, acah nak menang di Selangor (dalam Pilihan Raya Negeri). Dah tak menang, mari acah kerajaan akan tukar pada 31 Ogos dan kita pula tunggu sampai '45 Ogos' sampai ke sudah tak bertukar," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Rafizi berkata, ketika ini pembangkang juga dilihat semakin tiada isu relevan untuk dimainkan dalam politik dan sekarang sering membangkitkan isu berkaitan populariti Anwar dan Kerajaan Perpaduan yang kononnya semakin jatuh disebabkan keadaan ekonomi tidak baik
Malah, beliau berkata, pembangkang hanya berlandaskan pandangan atau pendapat daripada penganalisa politik mahupun kaji selidik yang tidak berpandukan data, bukti serta kupasan yang baik.
"Maka pandangan ini kita ambil 'as a pinch of salt'. Begitulah juga pandangan saya, kalau soal populariti ini dan perkara-perkara yang cuba dimainkan (pembangkang) sekarang. Sebab kalau ingat sejarah kita, bila masa orang kata PKR dan Datuk Seri Anwar ini popular.
"Memang tak pernah pun, pada zaman dulu pun ada orang kata PKR ini 'party the weakest link'," katanya dan menambah kenyataan sebegitu pernah dinyatakan oleh beberapa penganalisa politik.
Beliau turut berkata, ketika penubuhan awal PKR pada 1999, ada juga penganalisa politik yang menyatakan bahawa parti yang ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum tidak akan ke mana-mana, malah tiada harapan di negara ini.
Rafizi berkata, biarpun begitu, PKR bukanlah sebuah parti politik yang menunggu untuk didendangkan oleh mana-mana pihak berkepentingan sejak hari pertama penubuhannya.
"...kerana keputusan kita menongkah arus dan kadang-kadang keputusan kita mendahului zaman. Ambil masa untuk rakyat kumpulan cerdik pandai ini (penganalisa) dapat melihat perkara yang hanya pada ketika itu berdasarkan bukti kita, data kita, kepekaan kita, bahawa dekatnya kita dengan suara hati rakyat.
"Maka, kalau nak jadi parti yang berjaya bawa perubahan dan anjakan dalam negara dan masyarakat walaupun sering kita dikritik berkali kali, saudara-saudari setialah, Insya-ALLAH dengan Keadilan (PKR), kita akan terus mencipta masa depan kita," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!