NSDP buat sukan takraw tahun depan

PSM rancang memperkenalkan NSDP tahun depan. (Gambar kecil: Mohd Sumali)
PSM rancang memperkenalkan NSDP tahun depan. (Gambar kecil: Mohd Sumali)
A
A
A

[DIKEMAS KINI]PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) merancang memperkenalkan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSDP) tahun depan dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu sukan tersebut.

Malah, jelas presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan, NSDP merupakan kesinambungan kepada program pembangunan di pelbagai peringkat akan menampilkan pendekatan lebih menyeluruh dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan.

“Program pembangunan akar umbi ikutkan memang sudah berjalan namun kita mahu gabungkan kesemua elemen tersebut di bawah NSDP bagi memastikan program pembangunan ini diperkembang.

“Apa yang penting kerjasama kita lakukan ini merupakan perkara penting supaya perjalanan pembangunan betul-betul berada di landasan sama,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bengkel Program NSDP, pada Ahad.

Menurut Mohd Sumali, PSM mengimpikan sukan itu berdiri sama hebat dengan sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri seperti hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).

“Kali ini kita serius dan bengkel hari ini juga mendapat sambutan baik dengan kehadiran hampir semua persatuan negeri, wakil MSN dan KPM.

“MSN sedia membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu baik dari segi kelengkapan, penganjuran kejohanan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, perlaksanaan sistem kiraan 15 mata yang akan dikuatkuasakan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) pada Februari depan mendapat respon sebaliknya PSM.

Artikel Berkaitan:

Malah, Sumali turut menyifatkan perancangan terburu-buru badan induk dunia itu secara tidak langsung mampu 'membunuh keunikan' sukan berkenaan.

“Kami sudah membuat perlawanan demonstrasi sistem 15 mata ini menggantikan kiraan 21 mata semasa saingan Piala Tun Ali (antara Selangor dan Terengganu dan Angkatan Tentera menentang Phitsanulok) di Melaka minggu lalu.

“Ada dua servis yang digunakan (demonstrasi 15 mata baharu), satu servis setiap regu dan dua kali servis (berturut-turut dan bergilir-gilir dengan lawan).

“Jika dilaksanakan juga sistem kiraan 15 mata ini, keunikan acara sepak takraw akan hilang, malah penonton tengok perlawanan tidak puas, jadi PSM tidak setuju sebab terlalu cepat,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Sumali, PSM menghantar surat dan video demonstrasi kepada Istaf untuk kajian dan pertimbangan semula pelaksanaan sistem kiraan 15 mata berkenaan oleh badan induk berkenaan.

Tambah Sumali, badan induk itu juga mencadangkan pengekalan sistem 21 mata, selain dikekalkan kiraan 21 namun dengan servis satu kali setiap beregu.

Sebagai rekod, Istaf memutuskan untuk kembali menggunakan kembali sistem kiraan 15 mata, selain mengekalkan jumlah servis iaitu tiga kali secara bergilir-gilir bermula Februari tahun depan pada September lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!