KDA FC belasah Kelantan FC 6-1
KELANTAN FC terus dirundung malang apabila dibelasah 1-6 oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di sini pada Ahad.
Pada perlawanan itu, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi sepakan penalti disempurnakan oleh Ifedayo Olusegun selepas bola terkena tangan pertahanan Kelantan FC, Rakesh Munusamy.
Selepas itu kedua-dua pasukan mempamerkan aksi perlahan disebabkan oleh permukaan padang basah akibat hujan, bagaimanapun minit ke-20 KDA FC hampir menambah jaringan kedua namun dibatalkan oleh pengadil akibat offside.
Kelantan FC terus dirundung malang pada minit ke-26 apabila Kedah sekali lagi diberikan sepakan penalti dan Ifedayo tenang menambah jaringan kedua pasukan sekali gus melengkapkan gol kedua peribadinya.
Selang dua minit kemudian, Kedah terus berpesta dengan jaringan ketiga menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti Wan Mohd Afiq Wan Abdul Rahman yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol The Red Warriors (TRW), Ifran Haikal.
Ifedayo terus mempamerkan ketajaman penyudah apabila meledakkan jaringan hatrik pada minit ke-30 sekali gus menghadiahkan gol keempat buat KDA FC.
Keputusan 0-4 itu kekal hingga tamat babak perlawanan menyaksikan KDA FC membawa bekalan selesa ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, TRW cuba memberikan tekanan kepada KDA FC namun peluang terbaik yang dimiliki oleh Kelantan FC gagal disempurnakan oleh Hariran Karatheyges pada minit ke-55.
Kelantan FC terus bernafsu untuk mendapatkan gol pertama selepas itu, namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.
Usaha Kelantan FC mendapatkan jaringan pertama membuatkan hasil pada minit ke-73 menerusi rembatan Haziman Che Ngah
Ifedayo melengkapkan malam gemilang KDA FC dengan meledakkan gol kelima pasukannya pada minit ke-80.
Pemain gantian Arif Farhan Mohd Isa terus menambah luka buat TRW pada minit ke-87 dengan jaringan keenam KDA FC.
Keputusan 1-6 berpihak kepada KDA FC itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan pelawat meraih tiga mata penuh.
Kemenangan itu menyaksikan KDA FC mengumpul 53 mata terus menghimpit kedudukan Selangor FC di tangga kedua dengan perbezaan dua mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!