Hidu bau 'najis' sejak 20 tahun

Radzali (tiga dari kanan) menunjukkan surat yang sudah dihantar kepada agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu loji kumbahan di kawasan taman perumahan mereka.
Radzali (tiga dari kanan) menunjukkan surat yang sudah dihantar kepada agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu loji kumbahan di kawasan taman perumahan mereka.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Hampir 3,000 penduduk di Taman Bandar Baru Kuantan Putri, Sungai Soi terpaksa menghidu bau busuk dari loji kumbahan di kawasan perumahan mereka sejak 20 tahun lalu.

Mereka mendakwa pencemaran bau berpunca daripada kegagalannya syarikat pemaju yang gagal menyiapkan loji kumbahan berpusat untuk lebih 400 unit kediaman di kawasan berkenaan.

Dakwaan mereka, syarikat pemaju dilantik didakwa gagal memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sekali gus menyebabkan taman perumahan itu tidak mempunyai loji kumbahan berpusat.

Radzali menunjukkan kawasan loji kumbahan yang berhampiran taman perumahan mereka.
Radzali menunjukkan kawasan loji kumbahan yang berhampiran taman perumahan mereka.

Akibatnya, limpahan air najis dari loji terbabit memasuki kediaman penduduk, terutamanya ketika hujan lebat dan musim tengkujuh.

Penduduk, Azmi Harun, 62, berkata, kegagalan pihak pemaju menyiapkan loji kumbahan di taman itu menyebabkan mereka berdepan dengan masalah bau sejak sekian lama.

Azmi
Azmi

Dia yang merupakan pesara pasukan keselamatan turut menyuarakan rasa kesal membeli rumah di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya beli rumah ini sekitar tahun 2003 dan lima tahun kemudian barulah mula tinggal di sini. Sejak hari pertama hingga sekarang, saya dan keluarga rasa menyesal betul.

"Bayangkan, kami terpaksa ke stesen minyak atau surau yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) jika ingin membuang air besar. Tandas dalam rumah ini, bukannya rosak, tapi sebab kawasan taman ini tidak ada loji kumbahan, jadi tandas selalu tersumbat," katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Bandar Baru Kuantan Putri, Sungai Soi pada Ahad.

Azmi memaklumkan tandas rumah di Taman perumahan itu akan melimpah apabila musim hujan.
Azmi memaklumkan tandas rumah di Taman perumahan itu akan melimpah apabila musim hujan.

Azmi memberitahu, penduduk sebelum ini pernah mengumpul wang bagi membayar kos sewa lori tangki septik untuk menyedut limpahan najis di kediaman mereka.

Jelasnya, namun tindakan itu hanyalah bersifat penyelesaian sementara dan berharap satu penyelesaian jangka panjang boleh dilakukan pihak berkaitan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azahar Abdul Ghafar,62, berkata, masalah bau menyebabkan banyak aktiviti komuniti tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Mohd Azahar
Mohd Azahar

Dakwanya, ada sebahagian penduduk terpaksa menutup terus pintu tandas dalam rumah mereka susulan tidak tahan dengan masalah ini.

"Jadi, sampai bila penduduk kena hadapi perkara seperti ini. Hendak makan pun tidak lalu, padahal kita beli rumah untuk dijadikan tempat berehat bersama keluarga.

"Pihak berkenaan tolong kami semua. Kami penduduk merayu perbaikilah kumbahan ini, bagi (biar) sempurna seperti penduduk (di tanaman perumahan ) lain. Saya berharap sangat bagi pihak penduduk," ujarnya yang merupakan pesara swasta.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman terbabit, Kapten (B) Radzali Othman mendakwa masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada kerajaan Pahang.

Radzali
Radzali

Jelasnya, permasalahan itu turut dibawa kepada pengetahuan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun sehingga kini tiada maklumat balas diterima.

"Kita sudah puas buat aduan kepada jabatan berkaitan tetapi seperti tiada tindakan. Mungkin (selepas ini) kita akan hantar surat kepada PM (Perdana Menteri)," katanya.

Penduduk menunjukkan salah satu sistem kumbahan yang sering melimpah terutama ketika hujan.
Penduduk menunjukkan salah satu sistem kumbahan yang sering melimpah terutama ketika hujan.

Sebelum itu, Radzali berkata, pihak IWK sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dan melihat permasalahan yang dihadapi penduduk, namun seperti dijelaskan sebelum ini bahawa loji kumbahan itu tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

"Selagi pihak pemaju tidak mematuhi spesifikasi pembinaan ditentukan IWK, pihak mereka tidak dapat mengambil alih pengurusan loji terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!