FAM perlu segerakan bina stadium sendiri

Stadium Nasional, Bukit Jalil kini menjadi 'rumah' untuk skuad Harimau Malaya. Foto: Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Sadek)
Stadium Nasional, Bukit Jalil kini menjadi 'rumah' untuk skuad Harimau Malaya. Foto: Football Association of Malaysia. (Gambar kecil: Sadek)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menyegerakan untuk mempunyai stadium sendiri agar isu penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak terus mengundang masalah kepada pasukan Harimau Malaya dan penganjuran sebarang perlawanan bola sepak.

Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, stadium khas untuk bola sepak sememangnya sudah menjadi satu keperluan supaya tidak terus menyewa selain mengelakkan sebarang masalah yang timbul akibat perkongsian stadium itu.

Malah, Mohd Sadek berkata, ia juga memberikan kelebihan kepada Harimau Malaya yang mempunyai 'rumah' sendiri untuk setiap aksi yang akan meningkatkan moral dan semangat pasukan negara.

Menurutnya, perancangan untuk mempunyai stadium sendiri itu sudah dirangka oleh FAM untuk dibina di Putrajaya, namun tiada tanda projek itu akan berjalan.

"FAM sepatutnya sudah merancang untuk ada stadium sendiri lama dahulu selepas kita layak Olimpik 1981 lagi. Pada waktu itu, FAM dah perlu mohon dengan kerajaan.

"Terutama pada tahun 90an ketika bola sepak tengah hebat dan kerajaan ada sebab untuk beri ruang kepada pembinaan stadium khas untuk bola sepak. Kalau tak sekarang kita dah ada stadium bola sepak sendiri.

"Sekarang ini agak susah sebab dari segi peruntukkan dan sebagainya selain tiada 'punca kuasa' untuk memastikan kerajaan dapat menyegerakan projek tersebut.

"Sekarang, kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah kerana Stadium Nasional, Bukit Jalil itu bukan hak FAM dan perlu berkongsi dengan penganjuran aktiviti lain," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Stadium Nasional, Bukit Jalil yang baharu menjalani proses pertukaran rumput Zeon Zoysia dilaporkan kembali rosak selepas stadium itu digunakan untuk penganjuran konsert kumpulan Coldplay.

Ia sekali gus mengundang kemarahan banyak pihak selain risiko untuk penganjuran perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember mungkin berdepan masalah.

Mengulas mengenai rancangan pembinaan stadium di Putrajaya itu, Sadek berkata, FAM perlu mencari cara untuk mendapatkan dana dan tidak boleh mengharapkan kepada peruntukkan kerajaan jika mahu menyegerakan pembinaan stadium tersebut.

"Kawasan tanah di Putrajaya itu telah digazetkan untuk pembinaan stadium bersama-sama dengan pusat latihan dan pejabat baharu FAM. Saya dah tengok 'master plan' stadium tersebut.

"Namun, sekarang tidak tahu apa status stadium tersebut. Bagi saya, FAM mungkin kena berusaha dapatkan dana untuk bina stadium itu, jika tidak kita akan terus kena berkongsi sampai bila-bila," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!