Isa Samad kekal dijel, denda atau bebas diketahui esok

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

PUTRAJAYA - Nasib bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sama ada dibebaskan atau kekal dihukum penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.

Keputusan berkenaan akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, pada jam 9 pagi.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kemudiannya memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu, diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin selaku perayu manakala pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Dalam pendengaran rayuan bulan lalu, Salehuddin menghujahkan, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya atas kesalahan rasuah apabila mencapai dapatan yang bercanggah, antara satu sama lain.

Beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md Arip, (ketika itu) pegawai khas politik Mohd Isa, mengenai penyerahan wang, tidak menyokong elemen pertuduhan rayuan.

Dalam pada itu, peguam perayu menyatakan, hakim Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya bergantung kepada keterangan Muhammad Zahid sahaja.

Sebaliknya beliau berkata, mahkamah perlu meneliti keterangannya dengan lebih mendalam kerana lelaki itu merupakan saksi berkepentingan.

Untuk rekod, semasa perbicaraan, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa dia menyerahkan wang sebanyak sembilan kali, berjumlah RM3 juta dalam beg kertas dan beg hitam kepada tertuduh di pejabat tingkat 49, Menara Felda.

Sementara itu, SP16, bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel dalam keterangan berkata, setiap kali Muhammad Zahid menyampaikan ‘salam’, dia memahami itu merupakan petanda Mohd Isa memerlukan wang dan ia akan diberikan menerusi SP21.

Ketika membela diri pula, Mohd Isa berkata, tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada Ikhwan kerana dia tidak mempunyai sebarang kaitan atau mengenalinya secara peribadi.

Pihak responden pula menghujahkan, mahkamah perlu menimbang keterangan pendakwaan bahawa Mohd Isa terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan pembelian hotel berkenaan manakala wang RM3 juta itu adalah sebagai upah meluluskan pembelian itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!