Gol akrobatik luar biasa Garnacho
GOL akrobatik luar biasa Alejandro Garnacho untuk Manchester United di Goodison Park, awal pagi Isnin berkemungkinan jaringan tercantik saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kata pengendali The Red Devils, Erik ten Hag.
Biarpun begitu, bekas pengendali kelab Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam itu menegaskan terlalu awal untuk membandingkan Garnacho legenda Red Devils seperti Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo.
Ten Hag, bagaimanapun, tidak selesa membandingkan Garnacho dengan cepat dengan dua nama terbesar kelab dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Jangan bandingkan. Saya tidak fikir ia betul. Mereka semua mempunyai identiti sendiri, tetapi untuk Garnacho pergi ke arah itu, dia perlu bekerja keras. Anda perlu melakukannya secara konsisten. Setakat ini, dia tidak.
"Tetapi dia pasti mempunyai potensi tinggi untuk melakukan beberapa perkara yang menakjubkan. Ia bukan kali pertama kita melihat ini. Tetapi jika anda ingin menjadi pemain seperti Rooney atau Ronaldo, anda harus menjaringkan 20, 25 gol di Liga Perdana dan itu tidak mudah diperoleh. Tetapi dia berpotensi," kata pengurus itu yang menjalani penggantungan satu perlawanan pada Isnin.
Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan gol hasil sepakan basikal menakjubkan minit ketiga ketika United mengatasi Everton, 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park.
Gol Garnacha ketika menentang Everton tersebut hampir sama dengan sepakan basikal ikonik bekas penyerang United, Wayne Rooney ketika menentang Manchester City semasa Derbi Manchester pada 2011.
"Musim ini masih banyak permainan untuk dimainkan, tetapi bermungkinan gol tercantik liga musim ini. Ia satu jaringan yang amat luar biasa," kata Ten Hag.
Dua gol United lagi dihasilkan menerusi sepakan penalti Marcus Rashford (m-56) dan Anthony Martial (m-75).
Sementara itu, pemain muda dari Argentina itu berkata, dia sendiri tidak menyangka berjaya menjaringkan gol sedemikian.
"Saya tidak melihat bagaimana dapat menjaringkannya. Sejujurnya antara gol terbaik yang pernah saya cetak, saya sangat gembira," kata Garnacho.
Sementara itu, bekas kapten United, Gary Neville berkata, "Saya tidak percaya....
"Saya tidak fikir pernah berada di stadium melihat sepakan sebaik itu – dan saya berada di sana pada hari Rooney menjaringkan golnya dalam Derbi Manchester."
Kemenangan itu membolehkan anak buah Ten Hag mengumpul 24 mata selepas mengharungi 13 perlawanan manakala Everton kendalian Sean Dyche yang dipotong 10 mata selepas melanggar peraturan kewangan liga berada di kedudukan kedua tercorot liga.
Watkins bantu Villa tundukkan Spurs
Dalam perkembangan berasingan , Ollie Watkins membantu Aston Villa berada di kedudukan keempat EPL apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 di Tottenham Hotspur.
Villa terlebih dahulu ketinggalan melalui gol Giovani Lo Celso pada separuh masa pertama di utara London.
Tetapi Pau Torres menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat dan gol ke-12 Watkins musim ini melengkapkan keputusan memberangsangkan untuk Villa.
Villa kini berada di atas Tottenham dengan pasukan Ange Postecoglou ketinggalan dua mata di belakang mereka di tempat kelima selepas kekalahan ketiga berturut-turut menghalang momentum awal musim mereka.
Tottenham gagal memanfaatkan situasi apabila mereka mendahului dalam ketiga-tiga kekalahan mereka, tetapi Postecoglou mungkin menyalahkan kecederaan pemain termasuk kehilangan beberapa pemain utamanya termasuk James Maddison.
“Hasilnya mengecewakan tetapi saya fikir pemain melakukan kerja hebat dan bermain bola sepak yang kami mahukan.
"Pada hari lain kami memenangi perlawanan itu. Ia adalah margin yang baik. Jika kami terus bermain seperti itu apabila semua pemain kembali, kami akan menjadi pasukan yang cukup baik," katanya.
Kemenangan ketiga Villa dalam 11 perlawanan liga terakhir mereka menggariskan peningkatan yang dibuat oleh Emery sejak dia menggantikan Steven Gerrard yang dipecat musim lalu.
Duduk hanya dua mata di belakang pendahulu Arsenal, Villa telah memenangi empat daripada lima perlawanan liga terakhir mereka untuk mencetuskan harapan mencabar kedudukan empat teratas.
"Ia adalah perlawanan yang menakjubkan. Kedua-dua pasukan mencipta peluang. Kami cekap dan klinikal dalam serangan kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!