Polis Johor lupus dadah RM5.43 juta
JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor pada Isnin melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM5.43 juta bagi kes yang sudah selesai didakwa di mahkamah bagi tempoh 2000 sehingga tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, proses tersebut yang melibatkan dadah sebanyak 301.54 kilogram (kg) dan 1,562.60 liter yang dimusnahkan mengikut proses pelupusan barang kes yang telah ditetapkan.
"Pecahan barang kes dadah yang dilupuskan melibatkan heroin seberat 10.42 kg; kanabis (28.38 kg); ketamine (15.04 kg); methamphetamine (8.03 kg); methylene methamphetamine (10.35kg); daun ketum (235.43 kg) dan pelbagai jenis dadah lain (4.45kg) serta 1,562.60 liter.
"Proses ini dilakukan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sekitar Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.
Menurutnya, proses tersebut adalah bukti barang kes dilupuskan sekali gus menolak dakwaan pihak polis tidak berbuat demikian sebaliknya menjualnya semula temasuk mereka yang mempersoalkan ke mana perginya barang rampasan kes dadah.
"Orang selalu mempersoalkan semua dadah dirampas itu dibawa ke mana, dijual balik ke?
"Tak, inilah dia proses yang kita buat sekurang-kurangnya dua kali setahun, kita akan lupuskan barang kes.
"Itulah SOP (prosedur operasi standard) dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk pastikan barang kes ini akan dilupuskan mengikut standard yang tidak mencemarkan alam sekitar.
"Stor barang kes juga tidak muat dan kita mahu elakkan berlaku penyelewengan," ujarnya.
Katanya, jumlah pelupusan yang dilakukan pada tahun ini kurang sedikit berbeza dengan pelupusan yang JSJN Johor lakukan pada tahun lalu melibatkan 301.54kg dan 6.42.47 liter dengan barang kes dianggarkan bernilai RM6.11 juta.
Kamarul Zaman memberitahu, bermula 1 Januari sehingga 20 November lalu, JSJN Johor berjaya menangkap seramai 15,167 orang atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah melibatkan 4.65 tan.
Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM33.77 juta manakala harta benda yang disita pula bernilai RM13.15 juta.
"Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.
"JSJN Johor sentiasa komited dan agresif dalam melaksanakan operasi secara berterusan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!