Penyokong Everton protes, dakwa Liga Perdana amal rasuah
PEMINAT Everton mengadakan protes besar-besaran terhadap Liga Perdana ketika The Toffees menentang Manchester United susulan hukuman dipotong 10 mata kerana melanggar peraturan kewangan.
Kelab itu telah dikenakan sekatan sukan terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris kerana melanggar peraturan Financial Fair Play (FFP).
Kelab dalam liga utama Inggeris hanya dibenarkan kerugian maksimum £105 juta (RM620 juta) dalam tempoh tiga tahun atau berdepan sekatan.
Everton mengakui melanggar peraturan tersebut untuk musim 2021/22 tetapi terkejut dengan hukuman sekatan yang berat oleh suruhanjaya bebas.
“Kebanyakan orang dalam bola sepak terkejut dengan hukuman itu.
“Tidak seimbang adalah perkataan yang digunakan oleh kelab. Jelas sekali kami berasa agak terkilan," kata pengendali Everton, Sean Dyche.
Hukuman itu telah meletakkan Everton di kedudukan ke-19 dalam liga dan berdepan penyingkiran dari saingan liga.
Goodison Park dibanjiri dengan plakad yang mengandungi logo Liga Perdana dan perkataan "rasuah" sebelum sepak mula.
Peminat Everton juga membuat bantahan di luar ibu pejabat Liga Perdana di London pada hari Jumaat selain terdapat demonstrasi lanjut di jalan-jalan di sekitar Goodison.
Sepanduk besar juga tergantung berbunyi 'di mana ada kuasa, ketamakan dan wang... di situ ada rasuah'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!