KKD jamin data Identiti Digital Nasional rakyat Malaysia selamat
SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama MIMOS Berhad (Mimos) memberi jaminan bahawa data peribadi rakyat Malaysia menerusi program Identiti Digital Nasional (IDN) adalah selamat.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, program tersebut penting bagi menyeragamkan proses daftar masuk untuk setiap aplikasi milik agensi atau jabatan kerajaan.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut akan memberi manfaat kepada semua pihak dan mengurangkan kos pembangunan aplikasi.
Ujarnya, negara seperti Singapura, Estonia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut beralih kepada penggunaan ID digital.
“Kita lihat setiap kementerian mempunyai aplikasi tersendiri dan maklumat yang dipegang terlalu banyak.
“Apabila kerajaan menyediakan satu modul yang dapat digunakan oleh semua kementerian dan pihak swasta, maka isu keselamatan data peribadi dapat dikawal dengan rapi.
“Data rakyat Malaysia akan lebih selamat daripada dicuri oleh pihak yang berniat jahat,” katanya dalam Seminar Transformasi dan Inovasi Digital Malaysia- Jepun 2023 di Management and Science University (MSU) di sini pada Isnin.
Pada 21 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melantik pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan nasional MIMOS sebagai agensi pelaksana program IDN atau Digital ID dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.
Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan kepada MIMOS pada minggu hadapan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyegerakan pelaksanaan program berkenaan.
Mengulas lanjut, menurut Fahmi, dasar tersebut bukanlah baharu, sebaliknya telah diumumkan pada tahun 2021.
Ujarnya, rakyat tidak perlu takut dengan dakwaan sesetengah pihak berkaitan isu itu di media sosial.
“Saya ingin tegaskan ini bukan dasar baharu.
"Kita mahu selesaikan isu pendaftaran masuk dalam aplikasi kerajaan dan pastikan keselamatan terjamin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!