SP Setia catat jualan RM3.89 bilion suku ketiga 2023

SP Setia mencatat jualan lebih tinggi RM1.08 bilion untuk suku ketiga yang berakhir 30 September 2023. - Foto SP Setia. Gambar kecil: Kai Wai
SP Setia mencatat jualan lebih tinggi RM1.08 bilion untuk suku ketiga yang berakhir 30 September 2023. - Foto SP Setia. Gambar kecil: Kai Wai
A
A
A

SP Setia Berhad (SP Setia) mencatat jualan lebih tinggi RM1.08 bilion untuk suku ketiga yang berakhir 30 September 2023 dengan jumlah jualan RM3.89 bilion sekali gus melepasi paras tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai berkata, pemaju hartanah terkemuka tempatan itu turut memperoleh peningkatan sebanyak 23 peratus bagi keuntungan kasar dengan jumlah RM291.7 juta.

“Projek tempatan menyumbang RM3.37 bilion atau 87 peratus daripada jualan manakala baki RM523 juta disumbangkan daripada jualan antarabangsa.

"Inventori yang telah siap membuahkan hasil dengan jualan sebanyak RM804 juta manakala RM450 juta tempahan telah diterima pada 30 September 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu Kai Wai memaklumkan, SP Setia juga telah melancarkan pelbagai projek, termasuk RM498.7 juta hartanah bertanah di wilayah Tengah dan Selatan, unit runcit serta pejabat komersial dua tingkat bagi Hab Perniagaan Pusat Bandar Setia Fontaines di Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau memberitahu, pemaju hartanah berkenaan telah berkembang di peringkat antarabangsa dengan memperoleh tapak tanah utama di St Leonards, Sydney, Australia.

Menurutnya, keluasan tanah 1,374 meter persegi itu menandakan usaha pertama syarikat tersebut di New South Wales.

“Ia bertujuan untuk mengukuhkan kewujudan syarikat dalam pasaran hartanah Sydney. Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen SP Setia terhadap pertumbuhan serantau dan menyumbang kepada saluran pendapatan masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa sama, SP Setia baru sahaja mengumumkan penjualan tanah seluas 17.99 ekar (7.28 hektar) di Setia City, Selangor sebagai sebahagian daripada strategi tanah simpanan,” ujarnya.

Tambah Kai Wai, jualan itu bertujuan membuka kunci nilai untuk perbandaran dan sejajar dengan visi syarikat.

Katanya, hasil jualan akan digunakan untuk membiayai projek baharu, mengurangkan hutang dan memberi kesan positif kepada keuntungan, aset bersih serta baki tunai.

"Kami gembira dengan prestasi jualan dan kemajuan yang teguh dalam mengembangkan kehadiran kumpulan (SP Setia) di peringkat tempatan dan antarabangsa. Kami akan terus mengejar peluang pertumbuhan pasaran hartanah di Malaysia dan luar negara.

"SP Setia tetap berwaspada dalam menguruskan struktur modal dan meneruskan inisiatif yang akan meningkatkan fleksibiliti kewangan kami dengan ketara serta menyumbang kepada prestasi keseluruhan syarikat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!