Kedah tangguh projek kuari di Baling

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula dan menangguhkan projek kuari sedia ada yang diluluskan di daerah Baling untuk mencari tapak alternatif bagi melindungi tarikan eko-pelancongan daerah itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya turut membuat ketetapan untuk menolak permohonan projek kuari baharu di daerah itu.

Beliau berkata, keputusan itu melibatkan semua kelulusan sedia ada bagi projek kuari batu kapur, granit dan pasir yang diluluskan pentadbiran negeri sebelum ini.

"Saya ingin maklumkan bahawa identiti Baling telah ditetapkan sebagai daerah eko-pelancongan. Maka, kita akan pertimbang dan tangguhkan sebarang projek yang boleh menjejaskan perancangan itu seperti permohonan kuari.

"Baling ini kaya dengan permohonan kuari antaranya melibatkan batu kapur, granit dan pasir. Kalau permohonan baharu ditolak, manakala permohonan telah diluluskan ditangguhkan untuk dicari ganti di tempat lain khususnya kawasan tumpuan dan gua-gua," katanya.

Muhammad Sanusi berkata sedemikian ketika menjawab soalan Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, usaha berkenaan bagi memastikan tarikan pelancongan tidak terjejas dengan projek-projek ekonomi perseorangan ataupun syarikat hingga mendatangkan kesan negatif kepada daerah itu.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian dan menetap hala tuju sama ada industri getah mampu menyara kehidupan khususnya penduduk luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan tambahan Najmi berkaitan isu sosio-ekonomi masyarakat Baling yang kebanyakannya masih bergantung kepada industri getah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!