'Kita ada empat jeneral, bukan satu' - Razali Idris

Razali
Razali
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai empat jeneral yang akan membantu dalam mengemudi kawasan itu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jeneral itu terdiri daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Kemasik, Kijal dan Air Putih yang juga daripada Perikatan Nasional.

Justeru katanya, tidak berbangkit isu anak tempatan atau sukar membahagikan masa untuk penduduk kawasan berkenaan.

"Kita akan bersama-sama sederap untuk cari maklumat dan masalah rakyat. Kalau Pusat (isu besar), kita akan hantar kepada ahli Parlimen untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

"Itu yang paling mustahak, bukan nak buat kerja seorang diri sahaja. Kita ada JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) dan ahli majlis.

"Inilah jentera-jentera untuk memastikan Parlimen serta DUN mendapat manfaat daripada hasil kemenangan sebagai wakil rakyat," katanya dalam ceramah perdana Pas di Unit Daerah Mengundi (UDM) Padang Kubu, Kijal pada malam Ahad.

ADUN Kijal itu menambah, pengundi Kemaman perlu 'mengajar' kerajaan sekali lagi dengan memperoleh majoriti lebih besar.

Jelasnya, PRK kali ini tidak sepatutnya dilakukan tetapi tetap dibuat bagi memenuhi matlamat pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Semasa PRK Kuala Terengganu, kita buat daripada majoriti 41,000 (PRU15) jadi 47,000. Kena ajar sekali lagi untuk bagi isyarat kepada kerajaan Pusat yang 'galak' nak pilihan raya.

"Kita nak lebih 30,000 majoriti di Kemaman. Baru dia sedar bahawa 'pilihan raya terpaksa' ini akan menyusahkan rakyat," jelasnya.

PRK Kemaman kali ini menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Ahmad Samsuri yang mewakili Pas dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN.

Pada PRU15, Che Alias Hamid daripada Pas memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.