Bendera Palestin berkibar megah atas motosikal antik
KULIM - Sokongan terhadap perjuangan Palestin diterjemahkan Club Antique Motor Kulim melalui perjalanan konvoi merentasi lebih 182 kilometer Sabtu lalu.
Pengerusinya, Abdul Razak Buhari berkata, ahli bukan sahaja menunggang motosikal antik jenis Honda C70 lampu bulat untuk menemui peminat dan penduduk, malah turut mengibarkan bendera Palestin di sepanjang laluan yang merentasi dua daerah itu.
Menurutnya, selain memberi kesedaran agar semua pihak perlu menyokong hak mendapatkan bantuan kemanusiaan terhadap mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang ditindas, dalam masa sama menyatakan solidariti agar seluruh dunia cintakan keamanan dan kedamaian.
"Tidak semua dapat ke sana untuk membantu perjuangan mereka namun kita di sini mampu membantu menyebarkan kesedaran dan berdoa dari jauh,"katanya.
Menurut Abdul Razak, konvoi yang disertai 18 ahli itu bermula dari Kulim melalui pekan Siong, Kupang, Kuala Pegang dan Ulu Legong yang mana perjalanan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke Baling serta bermalam di sana.
"Hari kedua kami berkonvoi ke seluruh daerah sebelum bertolak pulang ke Kulim.
"Sepanjang konvoi berlangsung, terdapat ramai pengguna jalan raya yang memberi isyarat lampu dan membunyikan hon, menyatakan sokongan terhadap apa yang kami laksanakan, diharapkan usaha sekecil-kecil ini mampu beri manfaat secara keseluruhannya,"katanya.
Selain itu, Abdul Razak turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan konvoi berkenaan dalam usaha menyatakan solidariti terhadap Palestin tidak kira dalam apa jua cara sekalipun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!