Kastam patah cubaan seludup rokok RM2.1 juta


Abdul Ghafar (tengah) menunjukkan rokok kretek dan rokok putih seludup yang dirampas dalam serbuan dua rumah tidak berpenghuni di Sitiawan dan Pantai Remis, minggu lalu.
Abdul Ghafar (tengah) menunjukkan rokok kretek dan rokok putih seludup yang dirampas dalam serbuan dua rumah tidak berpenghuni di Sitiawan dan Pantai Remis, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM2.1 juta dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung, Khamis lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, risikan selama seminggu berjaya membongkar modus operandi sindiket yang menjadikan dua rumah di Sitiawan dan Pantai Remis itu sebagai stor simpanan rokok seludup.

"Serbuan dalam kawasan komuniti berpagar sekitar jam 1.30 petang itu melibatkan kediaman tidak berpenghuni.

"Kita menemui 2,568,470 batang rokok putih dan kretek dianggarkan nilai termasuk duti dan cukai berjumlah RM2,032, 372.21 yang disyaki belum lulus kastam.

"Serbuan seterusnya menemui 127,200 batang rokok dengan anggaran nilai berjumlah RM100,907.40 yang disimpan di ruang tamu rumah di Pantai Remis," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, di sini pada Isnin.


Abdul Ghafar (tiga dari kiri) menunjukkan rokok-rokok bernilai RM2.1 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung minggu lalu.
Abdul Ghafar (tiga dari kiri) menunjukkan rokok-rokok bernilai RM2.1 juta yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung minggu lalu.

Menurut Abdul Ghafar, kesemua rokok itu diseludup masuk dari negara Indonesia dan Vietnam dipercayai menggunakan jalan laut untuk pasaran di negeri ini.

Tambah beliau, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan kedua-dua pemilik premis berkenaan bagi mengesan dalang sindiket penyeludupan rokok terlibat.

"Pemilik rumah dinasihatkan supaya berhati-hati dengan mengenal pasti identiti penyewa premis mereka," katanya.


Lebih 2 juta batang rokok dirampas dalam serbuan Cawangan Penguatkuasan JKDM Stese Taiping dan Lumut, minggu lalu.
Lebih 2 juta batang rokok dirampas dalam serbuan Cawangan Penguatkuasan JKDM Stese Taiping dan Lumut, minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghafar berkata, sebanyak 424 kes berjaya diperoleh dianggarkan bernilai lebih RM11.6 juta bagi tempoh Januari hingga November ini.

"Sebanyak 250 kes melibatkan frod perdagangan dan 174 kes frod dokumentasi melibatkan pelbagai komoditi.

"Kita merampas lebih 6.6 juta batang rokok putih dan kretek, 21,460 liter minuman keras, 40 kenderaan pelbagai jenis, 101.97 gram dadah dan 15 botol air kanabis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!