Cadang Tamadun Sungai Batu dimasukkan dalam promosi TMK 2025
ALOR SETAR - Tamadun Sungai Batu perlu ditekankan sebagai lokasi tumpuan pelancong dalam promosi Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, Sungai Batu merupakan satu tinggalan sejarah yang amat bernilai untuk dipromosikan kepada dunia luar.
Beliau berkata, tamadun itu dianggarkan berusia lebih 2800 tahun iaitu 788 Sebelum Masihi (SM) dengan penemuan sejarah ini ditandatangani oleh lima pakar arkeologi yang mewakili lima tamadun dunia.
"Tamadun Sungai Batu mendahului Kota Putra (400 SM), Rom Kuno (800 SM), Borobudor (800 Masihi), Angkor Wat (1200 Masihi), Majapahit (1300 Masihi), bahkan kerajaan Melaka (1500 Masihi).
"Susulan itu,penemuan dermaga dan pejabat pentadbiran serta industri besi yang amat berharga ini perlu diuar-uarkan dengan lebih hebat lagi dengan promosi TMK 2025 mesti menekankan lokasi ini sebagai tumpuan pelancong," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika membahaskan Bajet 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Isnin.
Beliau berpandangan, Sungai Batu jelas sebagai bukti bahawa kawasan itu merupakan pelabuhan perdagangan kosmopolitan yang sibuk di laluan pelabuhan kapal dari China ke India dan seterusnya ke Arab.
"Dengan teknologi satelit, pengkaji menemui sungai rangka kapal, bahkan terdapat tiang tiang kapal dalam paya di situ yang memerlukan kos tinggi untuk mengorek semuanya," katanya.
Dr Mohd Hayati mencadangkan inisiatif bekas pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin yang bersara pada 2021 disemarakkan lagi.
Katanya, dalam ekskavasi di tapak Sungai Batu pada 2009, hasil kerjanya selama lebih 12 tahun dipercayai hanya membongkar 10 peratus daripada apa yang ditawarkan oleh Lembah Bujang.
"Kerja-kerja ini sekarang diteruskan Profesor Stephen Chia dan pasukan ini diketuai seorang sejarawan proto dan seorang pakar tentang tamadun awal di Malaysia dan Asia Tenggara, Dr Nasha Rodziadi Khaw," katanya.
Sehubungan itu, menurut Dr Mohd Hayati, bajet promosi TMK 2025 mesti memasukkan nilai ketamadunan yang hebat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!