Ancaman bom: Polis Johor buka satu kertas siasatan

Kamarul Zaman (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang bersara pada majlis Meraikan Bakal Pesara dan Pesara Polis Kontinjen Johor di IPK, Johor Bahru, pada Isnin.
Kamarul Zaman (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang bersara pada majlis Meraikan Bakal Pesara dan Pesara Polis Kontinjen Johor di IPK, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sudah membuka satu kertas siasatan berkenaan enam ancaman bom yang diterima sekolah swasta di negeri ini, pada 21 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terdapat ancaman baharu dibuat selepas kejadian tersebut.

"Hanya ada enam laporan polis dibuat sekolah terlibat, selain itu tiada. Ketua Polis Negara juga telah memberi penjelasan berhubung ancaman diterima melalui e-mel tersebut, dipercayai dibuat individu yang tidak berapa betul (waras).

"Untuk laporan polis di sini siasatan kita buat di Johor, kita buka kertas siasatan untuk menyiasat perkara ini. Satu kertas siasatan melibatkan enam ancaman sebab semua sekolah terima e-mel yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Kamarul Zaman berkata, enam sekolah swasta yang menerima ancaman itu melibatkan beberapa daerah di negeri ini iaitu di Iskandar Puteri dan masing-masing satu di Kulai, Muar, Masai, dan Permas Jaya.

"Kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.

Pada 21 November lalu, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, selepas menerima ancaman itu, polis Johor mengatur gerak menghantar Unit Pemusnah Bom, Unit Cawangan Khas Daerah, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan Unit Anjing Pengesan (K9) kesemua lokasi berkenaan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, pemeriksaan yang dijalankan di seluruh sekolah tersebut mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dikesan serta mendapati kawasan sekolah adalah selamat.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 120 orang termasuk 10 pegawai kanan polis, 108 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam dirai dan menerima sijil penghargaan atas perkhidmatan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!