Noki K-Clique azam perbaiki diri
KENYATAAN anggota kumpulan K-Clique, Noki, mengimpikan wanita berpurdah sebagai isteri ternyata telah mengundang kutukan warga maya.
Rata-rata berpendapat, Noki tidak layak mendapat wanita yang mempunyai pegangan agama yang baik memandangkan imejnya tidak seiring dengan keinginan.
Tidak melatah dengan komen sedemikian, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata, sebagai manusia yang tidak lari melakukan kesilapan, dia juga berusaha untuk memperbaiki diri.
"Saya ada terfikir, apa yang saya minta, semua ALLAH makbulkan, tetapi kenapa saya tidak boleh amalkan apa yang ALLAH suruh.
"Jadi hari demi hari saya berusaha untuk jadi individu yang lebih baik, alhamdulillah saya sudah dapat jaga solat dan akan cuba sedikit demi sedikit ubah penampilan saya termasuk buang segala rantai dan gelang," ujarnya.
Noki berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem sulungnya, War On Terror: KL Anarki, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Noki, filem itu turut dibintangi Aedy Ashraf, Farali Khan, Adlin Aman Ramli, Wan Hanafi Su dan Daiyan Trisha.
Naskhah arahan Kroll Azree dan Frank See itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 23 November.
Tambah Noki, dalam mencari wanita yang diimpikan, dia juga akan menyeimbangkan kehidupan duniawi dan akhirat sebaik mungkin.
Apatah lagi, sebelum menceburkan diri dalam dunia hiburan, dia pernah terlibat dalam aktiviti kumpulan Tabligh selama dua tahun di Sabah.
"Saya pernah ikut mereka mengunjungi masjid-masjid di sana untuk berdakwah meskipun ada kalanya perlu berdepan pelbagai rintangan kecil.
“Kami akan keluar setiap bulan selama tiga hari. Ada tempat-tempat kami pergi tiada bekalan air dan elektrik,” jelasnya.
Kahwin
Sementara itu, diusik bilakah mahu menamatkan zaman bujang, Noki berkata, dia pernah merancang untuk berkahwin pada usia 25 tahun seperti Rasulullah SAW.
Bagaimanapun memandangkan sudah empat tahun tersasar, Noki tidak menolak untuk mendirikan rumah tangga tahun depan iaitu pada usia 30 tahun.
"Cemburu juga lihat MK dan Farid (anggota K-Clique) yang dah kahwin.
"Teringin juga bangun tidur nanti lihat wajah yang manis di sebelah dan balik rumah boleh rasa masakan isteri,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas pembabitannya dalam filem War On Terror: KL Anarki, Noki berkata, dia membawakan watak sebagai anggota polis bernama Zack.
Katanya, walaupun tidak banyak babak, tetapi Noki puas dapat menjayakan sebuah naskhah yang menjadi idamannya.
"Puas sebab dapat bawa watak yang saya mahu, berpeluang jalani latihan dan bergandingan dengan pelakon hebat, tapi itulah, awal pula Zack mati. Harap lepas ini mereka buat prekuel pula, boleh saya berlakon lagi," selorohnya.
Noki berkata, setakat ini, dia berhasrat untuk kembali memberi perhatian kepada karier nyanyiannya termasuk bersama kumpulan K-Clique, tetapi dalam masa sama, masih mahu terus berlakon.
"Dua-dua bidang (lakonan dan nyanyian) saya suka. Cuma sekarang saya mahu fokus menyanyi dulu, tapi kalau ada tawaran menarik, saya sedia mempertimbangkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!