Melaka umum bonus setengah bulan gaji
MELAKA - Kerajaan Melaka mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM2,000 kepada kakitangan awam dan pentadbiran di negeri ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan 'Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan,' di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Isnin.
Menurutnya, bantuan khas itu akan disalurkan bermula Februari dan Mac tahun depan kepada seramai 4,400 kakitangan awam termasuk berstatus kontrak dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta.
"Selama saya mentadbir urus Melaka dalam tempoh lapan bulan ini mereka memberi kerjasama yang baik dan mereka menghasilkan kerja yang baik.
"Jadi bagi menghargai jasa penjawat awam ini saya telah berunding dengan pegawai kewangan negeri dan juga setiausaha kerajaan negeri maka kita umumkan minimum bonus yang akan kita berikan adalah RM2,000 dan setengah bulan gaji," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Pembentangan bajet pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pada Isnin.
Jelas beliau, anggaran bajet keseluruhan berjumlah RM564.6 juta manakala hasilnya dianggarkan berjumlah RM479.6juta.
Ujar beliau, pecahan anggaran hasil cukai berjumlah RM167.4 juta selain hasil bukan cukai berjumlah RM298.9 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM13.3 juta.
"Kerajaan Melaka juga meneruskan inisiatif bajet lebihan atau surplus budget, dengan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM479.5 juta.
"Iaitu bagi maksud tanggungan dianggarkan berjumlah RM14.8 juta, manakala bagi maksud bekalan dengan anggaran berjumlah RM464.7 juta," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!